
"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan. Maka sesiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka sesiapa yang hijrahnya bertujuan untuk mendapatkan keduniaan, atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu hanya kepada apa yang diniatkannya saja" (Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)
Sabab Wurud hadis ini sangat popular dengan kisah seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana semata-mata ingin mengahwini wanita yang dicintainya; sehingga dia digelar sebagai Muhajir Ummu Qais.
Sehubungan itu, Baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam menjelaskan bahawa; setiap orang akan mendapat habuan mengikut apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berniat melakukan sesuatu amal kerana kepentingan dunia, maka ia akan mendapat habuan untuk tujuan keduniaannya. Begitu juga mereka yang yang berniat melakukan sesuatu amal untuk Allah dan hari akhirat, maka baginya keredhaan Allah dan ganjaran di hari akhirat.
Dalam hal ini, nilai dan ganjaran yang diharapkan turut memberi kesan terhadap niat seseorang dalam melaksanakan sesuatu usaha, kerja dan amalan. Ia merupakan tabiat atau fitrah yang wujud dalam diri setiap insan.
Oleh itu, amatlah elok untuk kita melakukan muhasabah terhadap diri, apakah niat utama yang kita sematkan dalam hati ketika hendak melaksanakan sesuatu usaha, amalan atau perkara? Apakah yang kita harapkan sebenarnya pada akhirnya daripada usaha-usaha tersebut?
Sesungguhnya manusia dan niat mempunyai pelbagai peringkat dan darjat di sisi Allah. Sekiranya kita tidak mampu untuk mencapai peringkat yang tertinggi, sekurang-kurangnya janganlah berada di peringkat yang terendah di sisi-Nya. Sehingga kita hilang keseluruhannya nanti ganjaran di hari akhirat.
0 comments:
Post a Comment