Showing posts with label Motivasi Keimanan. Show all posts
Showing posts with label Motivasi Keimanan. Show all posts

Thursday, 19 May 2016

Kita pasti akan bertemu penghujung kehidupan.

Kita pasti akan bertemu penghujung kehidupan. 

Bila? Kitapun tidak pasti berapa usia yang telah Tuhan tetapkan untuk dipinjamkan.

Kita pasti berpisah dengan dunia dan orang sekeliling kita. Perpisahan pasti berlaku. Sekiranya tidak berpisah hidup, mati pasti memisahkan kita juga. 

Sekiranya kita tidak ditinggalkan, maka kita yang mungkin akan meninggalkan.
Mereka yang telah pergi, mengingatkan kita bahawa betapa dunia ini hanya sementara.


Ambillah pesanan Nabi untuk Ibn Umar sambil Baginda memegang bahunya, sebagai usapan ingatan untuk dirimu juga:

كن في الدّنيا كأنّك غريب أو عابر سبيل
"...jadikanlah hidupmu di dunia ini bagai pedagang atau pengembara jalanan.."

Thursday, 12 November 2015

Dakwah: Sungguh Tuhan Tidak Membebankanmu dengan Apa yang Bukan Kudratmu

Salah satu motivasi yang menjadikanku masih lagi belum berhenti untuk menyampaikan butir-butir bicara dari satu daerah ke satu daerah, adalah kerana mengenangkan pesan guru kami. Barangkali antara kalian ada yang masih ingat butir bicaranya ketika menyampaikan madah Manhaj Dakwah di tahun 3. Sesungguhnya dakwah itu samada kau mampu menyeru seseorang itu daripada kekufuran kepada keimanan, daripada kemungkaran kepada ketaatan, daripada yang keji kepada yang terpuji. Atau setidak-tidaknya, kau mampu meninggalkan di kolam hatinya perasaan yang bertarung antara kebenaran dan kebatilan.

Sungguh Tuhan tidak membebankanmu dengan apa yang bukan kudratmu. Kau tidak dipinta memastikan pertambahan bilangan insan untuk kembali kepada Tuhan. Seruan Nuh menjadi saksi, meskipun lebih 900 tahun dakwah dan seruan, namun tidak sampai ratuspun yang beriman. Betapa ramai para nabi yang menyampaikan seruan, setelah mereka berpindah daerah barulah generasi kemudiannya beriman.

“Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah (kemana saja) di bumi ini?  (al-Nisa 96-97).

Bisikan firman sering menguat jiwa. Mengemukakan alternatif bahawa, adakalanya bicara seruan memerlukan lembah baru yang subur untuk disemai benih-benih Iman. Moga tumbuh di sana nanti pohon-pohon yang teguh merendang. Memayungi dan melindungi penduduk serta penghuninya, menyantuni pengunjung yang bertandang ke daerahnya.

Catatan Ibn Jawzi dalam Sifat as-Sahwah juga membawaku kepada pesan riwayat Maymun bin Mahran berkenaan bicara, tentang seorang lelaki yang memohon untuk dirinya nasihat daripada sahabat baginda Salman a-Farisi.

Maka beliau berkata: 

“Janganlah kamu berbicara” Maka lelaki itu bertanya: “Bagaimanakah seseorang yang hidup dalam kalangan manusia namun ia tidak berbicara?” Beliau menjawab: “Jika perlu untuk engkau berbicara maka katakanlah yang benar ataupun engkau diam”

Seorang ilmuan boleh bergetar bicara lidahnya kerana menahan marah sehingga dianggap sebagai seorang pengecut, namun ia sama sekali tidak wajar menjebakkan dirinya menjadi seorang yang tidak waras mahupun pendusta.

Thursday, 3 April 2014

Segalanya Bermula dengan Niat V

Salah atu ciri keunikan Islam berbanding agama lain, ia merupakan agama yang tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat. Meskipun dalam banyak perkara Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa berhati-hati dengan tipuan dunia, namun ia tetap memberikan panduan tentang bagaimana untuk mengurusnya. Oleh itu, hubungan antara dunia dan akhirat amat berkait antara satu sama lain. Dunia boleh dianggap sebagai jambatan menuju akhirat. 

Maka dengan keluasan rahmat Allah sebagai tuhan yang mencipta manusia, Dia tidak meniggalkan manusia begitu saja. Dia mengetahui fitrah kejadian manusia, keperluan dan kelemahan hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian, Dia mengutuskan para Rasul alaihim solatuwassalam, dan dibekalkan bersama para Rasul kitab-kitab sebagai panduan, lalu Dia menjadikan Muhammad sebagai Rasul utusan-Nya yang terakhir, dan dijadikan al-Quran sebagai kitab yang membenarkan para Rasul yang terdahulu dan membawa syariat yang terakhir dan terkemudian.

Oleh kerana Allah amat mengetahui fitrah, keperluan dan kelemahan hamba-Nya di dunia, maka Dia tidak menjadikan urusan kehidupan dunia sebagai musuh kepada alam akhirat. Dalam banyak perkara, Islam memberi petunjuk bagaimana urusan dunia mampu diselaraskan dengan tuntutan akhirat. Di antara doa baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam:


اَللَّـهُـَّم أَصْلِحْ لِي دِينِي الّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الّتِي فِيهَا مَعَاشِي، وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الّتِي فِيهَا مَعَادِي، وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Mafhumnya: "Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku, dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku, serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan."    (HR. Muslim no. 2720 (71)
Keperihatinan dan perhatian Islam dalam hal ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek. Dalam ibadah solat umpamanya Allah memberikan keringanan dari sudut tempoh bacaan dalam solat semasa pelaksanaanya, tanpa memberatkan serta membebankan sehingga sukar untuk dilaksanakan oleh para pesakit, pekerja dan peniaga yang mencari rezeki. Keluasan rahmat Allah s.w.t ini dapat dihayati menerusi firman-Nya:


عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَىٰ ۙ وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ ۚ فَضْلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ 
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ



Mafhumnya: ".......Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang kamu dapat membacanya dari Al-Quran;  



( al-Muzammil : 20 )

Berhubung ayat ini, Imam al-Alusi telah memberikan komentar dalam tafsirnya bahawa; diseiringkan orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah dengan orang-orang yang berjuang pada jalan Allah menunjukkan seolah-olah mereka berdua ( 2 golongan ini ) seakan sama pada mendapat habuan pahala.

Selain itu, terdapat juga contoh lain dari hadis Nabi sallallah 'alaihi wasallam di mana Baginda Nabi melarang sebahagian Imam memanjangkan bacaannya ketika solat sekiranya dia mengethui di belakangnya terdapat makmum yang sakit, petani, peladang, penternak, pekerja yang mengerah keringatnya mencari rezeki di waktu siang di mana mereka tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka dalam tempoh yang lama.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a mafhumnya: 

Kebiasaanya Muaz sembahyang bersama Nabi s.a.w dan kemudian beliau akan pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi s.a.w kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan mengadap Rasulullah s.a.w dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu menegurnya: Wahai Muaz! Adakah kamu menimbulkan fitnah dalam kalangan manusia terhadap agama (menjadikan gaabaran agama terpesong dan salah) 

  ( Bukhari & Muslim )

Tuesday, 10 December 2013

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT IV


Dalam tulisan yang lalu ada saya nyatakan bahawa betapa niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla.


    Hal ini segaja disisipkan bersama sebagai nota pemikiran dan muhasabah bersama dalam memburu keredhaan Allah azza wajalla. Ini kerana kadang-kadang kita sering diberikan dengan pelbagai gambaran yang melampau tahap manusiawi untuk mencapai keikhlasan. Sedangkan keterangan-keterangan yang wujud dalam al-Quran & al-Sunnah tidaklah sedemikian. 


   Adakalanya gambaran-gambaran kesufian mungkin agak melampau dan telah mencecah batas kudrat insani. Sehingga gambaran memburu mardhatillah itu tidak mungkin tercapai melainkan semua keperluan dan hajat manusia itu perlu dibuang sepenuhnya; seolah-olah menjadi para rahib dan sami-sami; atau ingin menyamai diri mereka dengan tahap malaikat ciptaan ilahi.




  Manusia yang menganggap bahawa dia tidak memerlukan apa-apa daripada tuhannya merupakan manusia yang tertipu dan terlupa terhadap fitrah kejadian sebenarnya yang sangat dan sentiasa berhajatkan kepada tuhannya. Manusia yang menganggap bahawa dia tidak perlu meminta dan berdoa kepada tuhannya adalah manusia yang tertipu dengan kesombongannya, merasa bersih dirinya daripada memerlukan pergantungan dan pengharapan, cuba mengangkat dirinya melebihi dari insan lain untuk mengeluarkan dirinya daripada menjadi sifat hamba. Bagaimanakah manusia mampu untuk tidak mengaharapkan pahala & syurga daripada tuhan sedangkan itulah tempat harapan kembali hamba-hamba yang beriman. Atau bagaimanakah manusia mampu untuk tidak kisah dirinya dihumbankan ke dalam neraka sedangkan ia sangat berharap keselamatan darinya. 


    Sesugguhnya impian-impian dan tujuan-tujuan yang tidak tercela di sisi Allah merupakan impian yang sepatutnya mampu membawa manusia semakin hampir mencapai keredhaan Allah azza wajalla. Maka beramal dan berharaplah dengan keluasan rahmat Allah. Memintalah sebagai hamba yang sentiasa berasa dirinya miskin dan mengaharpkan kekayaan Allah azza wajalla. Percayalah, manusia meskipun mengetahui bahawa dirinya sangat hina, lemah dan berdosa namun tetap mengharapkan keampunan, rahmat dan syurga daripada Allah di akhirat. Apakah mereka yang berasa dirinya tidak mengharapkan apa-apa daripada Allah azza wajalalla merasakan diri mereka telah mulia dan tidak berdosa? Kaya dan tidak berhajat? Sempurna? Jangan berhenti berdoa, dan jangan berhenti berharap, kerana dengan berdoa dan berharap mampu mengekalkan kerendahan seseorang hamba. Sedangkan tuhan sahaja yang tidak pernah berharapkan sesuatu daripada sekalian makhluk-Nya.

(Dalam penulisan yang akan datang sekiranya diizinkan Allah, insha Allah kita akan kongsikan beberapa petunjuk al-Quran dan al-Sunnah berhubung perkara ini)

Thursday, 5 December 2013

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT III



  Hadis berhubung niat ini telah mendapat nilaian yang tinggi di sisi ulama serta sentiasa menajadi perbahasan dalam kalangan ulama baik dari sudut Syariah (Fiqh) mahupun Tasawwuf. 


   Sebahagian ulama seperti al-Imam al-Bukhari rahimahullah telah memulakan karya Sahihnya dengan hadis ini. Hal yang sama telah dilakukan oleh al-Nawawi dalam "Arbain". 

    Menurut sebahagian ulama, hal ini sengaja dilakukan oleh mereka, untuk memperingatkan diri mereka sendiri dan mereka yang sesudahnya, supaya membetulkan niat dalam setiap perkara, termasuklah dalam menuntut ilmu. Berhubung hadis ini 'Abd Rahman Mahdi pernah menyatakan:



"Adalah patut untuk dijadikan hadis ini sebagai permulaan bagi setiap bab"


    Hal ini mungkin boleh membantu setiap penuntut ilmu untuk membersihkan niat di hatinya, dan peringatan ini akan datang setiap kali mereka bertemu  permulaan bab yang baru. Perbahasan-perbahasan berhubung hadis ini boleh ditemui dalam pelbagai karya para ulama dengan huraiaan yang panjang.



Pelbagai Niat dan Tujuan yang Baik 



    Niat sering dikaitkan dengan persoalan keikhlasan, kemurnian, kesucian dan ketulusan hati. Tujuan tertinggi atau terakhir yang ingin dicapai oleh seorang Mukmin tidak lain dan tidak bukan, melainkan untuk menggapai keredhaan daripada Allah azza wajalla. 



    Namun dalam sesetengah usaha yang kita lakukan, kita mungkin mempunyai lebih dari satu niat dan tujuan. Sesugguhnya niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla. 



  Seorang doktor yang merawat pesakit umpamanya, mempunyai niat untuk membantu masyarakatnya, membangunkan umat dan negaranya, memberikan perkhidmatan terbaik kerana amanah terhadap majikannya, melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakatnya, mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya di mana kesemua itu merupakan tujuan yang baik yang sewajarnya akan membawanya mencapai tujuan tertinggi, iaitu mendapat keredhaan Allah s.w.t.


   Hal ini tidak sewajarnya menjadi kontradiks sepertimana yang difahami oleh sesetengah pihak. Insan yang bergelar hamba sememangnya sentiasa berhajat untuk bernaung di bawah kebesaran, kekayaan dan keluasan rahmat Allah s.w.t. Sifat lemah, hina, memerlukan pergantungan, miskin, berharap merupakan sifat-sifat seorang hamba yang diperlukan apabila berhadapan dengan tuhan-Nya. 


  Adalah agak pelik, seorang hamba yang sememangnya berhajatkan segala-galanya daripada tuhan-Nya, namun secara tidak sedar bersifat sombong dan angkuh; atau juga ada yang menyatakan bahawa dia tidak memerlukan semua itu kecuali keredhaan tuhan-Nya semata-mata; atau beramal namun dia tidak berhajatkan syurga kecuali redha tuhan-Nya semata-mata; atau tidak kisah walaupuun berada di neraka sekiranya tuhan redha untuk dirinya berada di sana. Ia adalah sifat yang bersalahan dengan fitrah nurani seorang hamba itu sendiri yang bersifat lemah dan sangat mendambakan segala limpahan rahmat dan kebaikan daripada tuhan-Nya. 


   Sudah tentu, kita sebagai seorang hamba; amat-amat mengharapkan redha Allah s.w.t begitu juga syurga-Nya, sepertimana kita memohon juga perlindungan daripada kemurkaan Allah s.w.t dan neraka-Nya. Hal ini seperti doa yang sering kita panjatkan sebagaimana yang diajar oleh baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam: 

  اللهم إني أسألك رضاك والجنة وأعوذ بك من سخطك والنار
Mafhumnya: " Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keREDHAan-Mu dan SYURGA, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada keMURKAan-Mu dan NERAKA"



    Maka apakah berdoa mengrapkan syurga tuhan itu mencacatkan keikhlasan? Dan siapakah pula kita yang miskin dan lemah ini untuk berlagak kaya daripada meminta dan mengharapakan segala-galanya daripada Yang Maha Kaya itu? 

Lihat: 


Segalanya Bermula dengan Niat I:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-i.html

Segalanya Bermula dengan Niat II:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-ii.html
Segalanya Bermula dengan Niat III:http://notefrommydesk.blogspot.com/2013/12/segalanya-bermula-dengan-niat-3.html

Saturday, 27 October 2012

SESEKALI DIUJI, BARU KITA MENYEDARI BAHAWA KITA SEBENARNYA MASIH LEMAH PERGANTUNGANNYA PADA ILAHI

  Berbicara tentang musibah dan ujian kurang nilainya sekiranya kita belum pernah menempuhnya. Begitu juga bercakap tentang kejayaan dan kegagalan. Kata orang, orang yang telah berjaya mengecapi kejayaan lebih mudah menyampaikan motivasi tentang kejayaan dengan lebih meyakinkan kepada orang yang ingin mendengarnya. Samada ukuran kejayaan itu diukur secara material melalui pencapaian-pencapaian dalam hidupnya seperti kebiasaan orang menilainya. Atau dengan pengamatan yang lebih halus iaitu dengan melihat kekuatan 'spritiual' orang itu sendiri.





    Begitu juga apabila berbicara tentang kegagalan. Seseorang itu dianggap kurang kelayakan untuk bercakap tentang kegagalan kecuali dia telah mengalami dan berjaya menempuhnya. Adalah satu kesilapan apabila sesetengah orang membayangkan cerita motivasi itu adalah cerita kejayaan semata-mata. Motivasi sebenarnya adalah perjuangan dalam menempuh kehidupan itu sendiri. Kekuatan dalaman seseorang itu sendiri, sejauh mana dia mampu untuk terus bertahan, jatuh dan bangun semula. Inilah yang gagal difahami oleh sebahagian kecil anak didik saya apabila saya bercerita tentang motivasi. Malah sebahagian dari orang dewasa sendiri. Mereka tidak menyangka bahawa cerita tentang kegagalan itu sendiri merupakan sebahagian dari cerita motivasi.


  Sekiranya kita rajin menelaah sirah, kita akan mendapati dalam perjuangan baginda Rasul dan sahabat-sahabat sendiri terdapat saat-saat kejayaan dan saat-saat kegagalan. Saat-saat kegembiraan dan saat-saat kesedihan dan kekecewaan. Begitu juga apabila kita membaca cerita-cerita tokoh-tokoh besar di kalangan ulama umpamanya. Tiada seorangpun tokoh Islam yang berjaya menempah nama harum di bumi ini dan lebih-lebih harapannya di langit, menempuh kehidupan dunia ini dengan hidup sentiasa senang-lenang dan bergoyang kaki.



   Mereka yang hanya dihidangkan dengan cerita-cerita kejayaan semata-mata, tanpa menemui cerita-cerita tentang kegagalan mungkin akan menghadapi masalah besar apabila mereka ditakdirkan akan menempuh kegagalan suatu hari nanti. Inilah yang jarang diselitkan dalam slot ceramah-ceramah motivasi. Mungkin ada yang kurang bersetuju kerana ia mungkin boleh mewujudkan sisi negatif dalam minda untuk mencapai kejayaan. Namun saya memiliki pandangan yang tersendiri. Dan bersama-sama mereka yang meyakini penuh ketentuan Qada dan Qadar, cerita-cerita kegagalan yang diselang selikan dengan cerita-cerita kejayaan ini tidaklah pernah melemahkan semangat kami. Saya pernah membaca karya Hasan al-Banna menyentuh tentang keimanan kepada Qada dan Qadar ini. Ia adalah kefahaman yang berpaksikan keimanan di hati. Setidak-tidaknya saya tidaklah berbohong tentang kehidupan ini hanya dengan cerita-cerita indah semata-mata. Berpijak di bumi realiti, dan berpijak kepada pengalaman hidup yang dilalui sendiri, itulah perjuangan kehidupan yang perlu dilalui oleh setiap makhluk yang bernama manusia.



      Pada penghujung tahun 2005 saya pernah menerima mesej dari seorang anak didik saya yang ingin lari dari rumah akibat tertekan dengan keputusan peperiksaan PMR tidak seperti yang diharapkan. Barangkali harapan keluarga yang terlalu menggunung tinggi. Motivasi-motivasi yang dihadiri yang menekankan kejayaan material semata-mata adalah faktor-faktor yang menekan diri. Mungkin gagal atau kurang berjaya dalam PMR kelihatan remeh bunyinya bagi orang dewasa untuk menjadi permasalahan. Namun minda anak-anak remaja tidak sama dengan orang dewasa. Adakalanya kita mendengar beberapa permasalahan yang dirasakan tidaklah sebesar mana. Namun kita bersedia mendengarnya. Mendengar adakalanya lebih sukar dari bercakap. Sekiranya selalu kita bercakap dengan maksud memberi maka tidak salah sesekali kita memberi dengan mendengar pula. Tidak ramai orang yang ingin berkongsi cerita tentang kegagalan sebagai motivasi. Kemungkinan kegagalan dilihat sebagai satu gambaran kelemahan. Memang benar, kita tidak selalu menceritakan cerita-cerita kegagalan peribadi secara terperinci, melainkan untuk kes-kes tertentu. Dan tujuan penceritaan tentang kegagalan tersebut ialah bagaimana kita melaluinya, menghadapinya, bertahan, jatuh dan kemudian bangun semula.



      Tahun 2005 merupakan tahun tarbiyah dan pendidikan untuk saya. Ia merupakan tahun ujian buat saya. Boleh juga dianggap sebagai tahun dukacita. Ujian didatangkan Allah pada tahun itu secara berturut-turut satu demi satu. Dalam tempoh sepanjang kehidupan saya, tidak pernah saya mengambil masa yang lama untuk 'motivate' kembali semangat dan keyakinan diri yang hilang. Namun berbeza pada tahun tersebut, saya mengambil masa lebih dari 3 bulan untuk bangkit semula. Estim diri jatuh menjunam. Saya merasakan seolah-olah tidak memiliki apa-apa lagi ketika itu untuk bangkit dari kegagalan dan kekecewaan. Saya teringat pernah terbaca satu proverb Inggeris yang lebih kurang maksudnya berbunyi: 


'Akan tiba masanya apabila anda percaya bahawa anda tidak memiliki apa-apa lagi, maka di situlah sebenarnya permulaannya"


        Di penghujung tahun tersebut saya banyak bermuhasabah dan mengkoreksi diri. Memang benar, tidak semua impian dan cita-cita kita akan tercapai keseluruhannya. Meskipun telah kuat usaha demi usaha kita curahkan, maka tiada siapa yang mampu mengatasi kehendak takdir sekiranya itulah sebuah ketetapan. Usaha yang tinggi dengan harapan yang menggunung tanpa penyerahan sepenuhnya kepada Allah akan memberi tamparan yang hebat apabila kita ditakdirkan terpaksa menghadapi kegagalan. Kenyataannya, kegagalan besar amat sukar dihadapi oleh mereka yang menyimpan rekod kejayaan yang banyak dalam kehidupannya. Dan hanya kegagalan besar mampu mengajarnya erti redha di atas ketentuan. Redha bukanlah bermakna berputus-asa dan berhenti. Redha bererti dia perlu menerima ketentuan ini dengan hati yang lapang dan bersangka baik kepada Allah Taala. Adapun usaha untuk bangun berjuang perlu diteruskan, meskipun telah jatuh atau terjatuh berkali-kali. Ahli falsafah Cina kalau tak silap saya ada menyebut dalam terjemahan Inggerisnya berbunyi:

"Our greatest glory is not in never falling but in rising every time we fall."


     Kejayaan kita yang terhebat bukanlah kerana kita tidak pernah terjatuh, tetapi sentiasa bangkit setiap kali kita jatuh. Itulah sebenarnya motivasi yang tidak difahami oleh kebanyakan orang apabila berbicara tentang motivasi. Kebanyakan orang menganggap motivasi itu cuma perihal kejayaan-kejayaan semata-mata. Sebab itu apabila seorang juniour sekolah saya yang ditakdirkan gagal dalam percubaannya memulakan perniagaan datang bertemu saya untuk berkongsi pengalaman, dia menceritakan bahawa keinginan yang kuat untuk mengambil risiko sebahagiannya datang dari pembacaannya terhadap sebuah buku yang bertajuk 'Dare To Fail' (berani untuk gagal), maka saya memintanya supaya membacanya semula.

(Rujuk:
http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/dare-to-fail-yang-menjadi-kenyataan.html)





      Hakikatnya dia tidak memahami sepenuhnya apakah maksud buku tersebut. Kemungkinan dia cuma berjaya memahami separuh maksud iaitu apa itu 'Berani' tetapi belum berjaya memahami maksud 'Untuk Gagal'. Maka adalah silap untuk membuat anggapan bahawa setiap percaturan berani itu akan menghasilkan kejayaan semata-mata. Berani itu ada kaitanya dengan sifat optimis atau keyakinan diri. Dan saya percaya sekiranya sifat optimis ini dibina atas 'Keimanan Yang Kental' maka ia memberikan satu energi yang luar dari biasa.



Bukankah tuhan pernah berfirman yang mafhumnya:


"Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan adalah dengan tujuan untuk menguji kamu semua siapakah yang paling baik amalannya" (al-Mulk) 

Dan mafhum firmannya lagi yg berbunyi:



"Dan akan Kami uji kamu semua dengan sesuatu yang berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda, nyawa, dan buah-buahan, dan berilah berita gembira buat mereka yang sabar" (al-Baqarah)


  Hakikat ujian yang datang silih berganti ini dalam kehidupan ini perlu diakui. Sekiranya ada yang menyatakan bahawa ujian-ujian yang didatangkan oleh Allah s.w.t ini boleh membentuk kekuatan dalaman, maka saya bersetuju dengannya. Ujian berbentuk kehilangan demi kehilangan orang yang disayangi dan rasa ingin kita bergantung harap padanya umpamanya, akan membentuk pergantungan penuh kepada Ilahi. Ini dapat dipelajari dari sirah Rasulullah sallallah 'alaihi wasallam. Apabila Allah ingin menguatkan hati baginda Rasul. Allah melahirkan baginda dalam keadaan yatim tidak berayah. Kemudian Baginda kehilangan ibunya. Kemudian pakciknya yang disayangi. Dan seterusnya Khadijah isterinya yang banyak berkorban untuknya. Itu antara kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji sirah baginda nabi.



    Orang berkata motivasi tidak akan mampu bertahan lama, seperti mandi. Atas sebab itu kita harus melakukannya setiap hari. Begitu juga tazkirah keimanan, atau sekiranya kita suka kita boleh menamakannya motivasi keimanan. Namun kebelakangan ini sukar untuk kita bertemu dengan tazkirah-tazkirah yang sebegini. Tazkirah yang lahir dari hati orang-orang yang jujur pada dirinya dan tuhannya. Cuma baru-baru ini hati saya tersentuh mendengar satu slot ceramah yang disampaikan oleh seseorang. Ia membuatkan saya rindukan tazkirah-tazkirah yang pernah dinikmati sekitar 10 tahun yang lalu bersama sahabat-sahabat seperjuangan dulu.


  Sekiranya anda berkesempatan untuk bertemu dengan orang-orang yang seperti itu. Hayatilah satu santapan pengisian rohani yang biasa isinya tetapi dengan penghayatan dan nilai yang berbeza. Sekiranya anda memiliki deria jiwa yang halus untuk merasai lazatnya tazkirah tersebut, maka anda mungkin menikmatinya dengan penuh keinsafan dan linangan air mata. Dalam hidup ini saya pernah bertemu dengan orang-orang yang sebegitu. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa ingin melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa hampirnya akhirat. Orang yang dilihat wajahnya sahaja terasa ingin menyerahkan sepenuh jiwa dan raga untuk Allah dan Rasul-Nya. Betullah apa yang pernah diulang-ulang oleh pensyarah matapelajaran Adab saya ketika di tahun empat Universiti dahulu: 



"Apa yang keluar dari hati, akan menusuk ke hati juga"

   Tentunya tahun yang akan berlalu tidak berapa lama lagi akan meninggalkan pelbagai kenangan dan pengalaman, samada yang manis atau pahit buat kita. Jadikanlah yang manis-manis itu sebagai penyuntik semangat, dan yang pahit pula sebagai 'dos', untuk menambah kekuatan dalaman bagi menghadapi hari-hari yang mendatang. Sesekali diuji, baru Kita menyedari, bahawa kita sebenarnya masih lemah pergantungannya terhadap Ilahi

Thursday, 18 October 2012

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT II

    Niat merupakan titik permulaan yang sangat penting yang akan memberi kesan kepada perbuatan dan tindakan seterusnya. Apa yang diniatkan juga sering  menjadi motivasi diri untuk mencapai sesuatu perkara. Berhubung perkara ini, baginda Nabi s.a.w pernah bersabda mafhumnya:

"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan.  Maka sesiapa yang hijrahnya  menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya.  Maka sesiapa yang hijrahnya bertujuan untuk mendapatkan keduniaan, atau perempuan  yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu hanya kepada apa yang diniatkannya saja"  (Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim)

    Sabab Wurud hadis ini sangat popular dengan kisah seorang lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana semata-mata ingin mengahwini wanita yang dicintainya; sehingga dia digelar sebagai Muhajir Ummu Qais. 


    Sehubungan itu, Baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam menjelaskan bahawa; setiap orang akan mendapat habuan mengikut apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang berniat melakukan sesuatu amal kerana kepentingan dunia, maka ia akan mendapat habuan untuk tujuan keduniaannya. Begitu juga mereka yang yang berniat melakukan sesuatu amal untuk Allah dan hari akhirat, maka baginya keredhaan Allah dan ganjaran di hari akhirat.



    Dalam hubungan dan kaitannya dengan motivasi dalaman diri. Kita mampu untuk melihat sejauh manakah seseorang itu sanggup untuk mengerahkan usahanya untuk mencapai apa yang menjadi niat dan tujuan utamanya itu. Setiap orang akan bergerak untuk melaksanakan sesuatu usaha dan amalan mengikut apa yang diharapkan natijah daripadanya. Mereka yang melaksanakan sesuatu usaha, kerja dan amalan kerana kepentingan dunia semata-mata, akan berhenti dari melaksanakannya atau meneruskannya apabila dilihat  ianya tidak mempunyai kepentingan untuk pencapaiaan hasil keduniannya. 

    Dalam hal ini, nilai dan ganjaran yang diharapkan turut memberi kesan terhadap niat seseorang dalam melaksanakan sesuatu usaha, kerja dan amalan. Ia merupakan tabiat atau fitrah yang wujud dalam diri setiap insan. 


    Oleh itu, amatlah elok untuk kita melakukan muhasabah terhadap diri, apakah niat utama yang kita sematkan dalam hati ketika hendak melaksanakan sesuatu usaha, amalan atau perkara? Apakah yang kita harapkan sebenarnya pada akhirnya daripada usaha-usaha tersebut?


    Sesungguhnya manusia dan niat mempunyai pelbagai peringkat dan darjat di sisi Allah. Sekiranya kita tidak mampu untuk mencapai peringkat yang tertinggi, sekurang-kurangnya janganlah berada di peringkat yang terendah di sisi-Nya. Sehingga kita hilang keseluruhannya nanti ganjaran di hari akhirat.  

Thursday, 4 October 2012

DARE TO FAIL YANG MENJADI KENYATAAN

     Beberapa tahun yang lalu ketika masih berkhidmat sebagai pendidik di sekolah, saya telah dikunjungi oleh seorang junior semasa zaman persekolahan dulu. Kedatangannya menziarahi saya bertujuan berkongsi masalah dan pengalaman. Hidup ini ada jatuh bangunnya. 


    Berkongsi pengalaman adalah satu aktiviti positif dalam membangunkan kembali rasa keyakinan diri. Katanya dia diuji dengan kegagalan dan kehilangan pada tahun ini. Selain gagal untuk melagsungkan perkahwinan, percubaannya dalam menerokai dunia perniagaan turut musnah. Hutang-piutang pula seringkali membelengu di kepala. Apa yang mendukacitakan lagi ialah perkara ini berlaku dalam keadaan dia belum sempat meghabiskan tahun akhir pengajiannya di Universiti.


Amat Bermakna Bagi Mereka

    Sekiranya menjadi tabiat kebiasaanya kita diajar bercakap dan memberi pandangan, adakalanya sesekali elok juga kita berlatih dan membiasakan diri untuk mendengar orang meluahkan permasalahan. Meskipun kita mungkin cuma sempat meluangkan masa untuk mendengarnya sekadar tempoh menghabiskan secawan teh O panas. Pengorbanan tersebut amatlah bermakna bagi mereka.


Making Mistakes Is Simply Mean You Are Learning Faster

    Menceritakan pengalamannya bagaimana dia berani mengambil risiko memulakan bisnes agak menarik juga. Ianya bermula selepas dia membaca sebuah buku yang bertajuk 'Dare To Fail' Tenyata buku tersebut banyak memberi kesan terhadap dirinya. Buktinya dia telah menangguhkan semester pengajiannya semata-mata untuk menghidupkan tapak mula perniagaannya. Oleh kerana kehidupan ini tiada siapa yang mampu menelah secara tepat kemungkinan dan keberangkaliannya maka ditakdirkan dia gagal dan kerugian. Penceritaanya tersebut membantu saya memberi beberapa respon sebagai perkongsian pandangan. Teringat saya satu kata-kata positif yang berbunyi: 'Making Mistakes Is Simply Mean You Are Learning Faster', melakukan kesalahan bermakna anda belajar sesuatu dengan lebih cepat.




    Kekuatan minda secara positif sahaja tidak mencukupi. Perancangan yang tersusun rapi dan teliti, amatlah perlu dalam merangka satu plan tindakan. Meskipun untuk memulakan sesuatu usaha yang mencabar pemikiran positif ke arah kejayaan amatlah digalakkan. Namun dalam merancang plan tindakan, perkara-perkara negatif yang mungkin berlaku perlu juga diambil kira. Setidak-tidaknya ada persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan yang tidak diharapkan. Namun kadang-kadang perancangan yang disangka rapi dan teliti pun diuji oleh Allah dengan kegagalan. Maka di sinilah perlunya sifat redha dan sabar dengan ketentuan.


Keberanian Mengambil Risiko

    Keberaniaan mengambil risiko adalah satu sikap yang melambangkan optimis dan keyakinan diri. Namun keberaniaan ini perlu juga mengambil kira kemampuan dan kekuatan yang ada. Sikap terlalu berhati-hati kata orang sama risikonya dengan sikap terlalu kurang berhati-hati. Mengambil langkah sederhana adalah jalan pertengahan yang mungkin memuaskan keseimbangan antara keberanian dan ketakutan. Dan Islam juga suka kepada kesederhanaan.


        Sebahagian dari kita mungkin suka dengan cara yang begini. Melihat risiko dan mengukur kemampuan diri sebelum mengambil sebarang tindakan. Namun perkara ini adalah pilihan yang tidak menentu, adakalanya kita teringin untuk melakukan sesuatu percubaan yang mungkin melampaui tahap kemampuan yang kita jangkakan. Sesekali membuat percubaan berani seperti ini saya kira perlu untuk meningkatkan keyakinan diri. Tapi sebelum itu pastikan diri kita sanggup menerima kegagalan sekiranya tidak berjaya seperti yang dihajatkan.


Kegagalan Yang Diterbalikkan

    Saya sempat membaca buku Billi ini secara langkau kira-kira dua tahun lalu ketika mengunjungi sebuah kedai alat-tulis di Pulau Pinang. Kejayaan sebenar 'Dare To Fail' pada hemat saya bukanlah kerana dia ingin menceritakan kejayaaan. Kejayaan 'Dare To Fail' ialah kerana kegagalan yang cuba diterbalikkan. Menukarkan kegagalan kepada sesuatu yang positif untuk tidak terus berputus-asa berhadapan dengan cabaran.

    Secara penelitiannya pemikiran positif ini telahpun diajar di dalam al-Quran, hadis-hadis dan kitab-kitab sirah perjuangan para rasul dan nabi-nabi. Malah ianya dapat dilihat dalam kehidupan para salafusoleh generasi yang menempah nama indah dalah sejarah yang layak untuk dikaji. Ianya teguh kerana tumbuh dari benih keimanan dan ketakwaan yang bersumberkan wahyu al-Quran dan Sunnah nabi. Dan akhir pertemuan tersebut saya menyatakannya padanya:

 'Betullah apa yang anta baca, dare to fail, berani untuk gagal, sekarang kena berani la..' dan kenyataan dare to fail ini perlulah dihadapi dengan tabah dan sabar".

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT I

Telah tersangat lama saya tidak menulis di ruangan blog. Bermula dengan kesibukan, dan ia akhirnya mula ditinggalkan. Semakin lama ia ditinggalkan, semakin tidak tahu untuk mencoretkan sesuatu. Tidak mustahil, sekiranya saya tidak rajin mengasah pena, maka kemampuan penulisan saya boleh mengurang dan akhirnya menghilang. 

Sungguh dunia pentadbiran amat berbeza dengan dunia pendidikan. Menjarakkan saya dengan ilmu dan buku, diskusi dan majlis-majlis ilmu, yang sangat menjadi kegemaran rutin harian saya untuk dipenuhkan masa dengannya. 

Masa kebanyakannya dihabiskan dengan mesyuarat, perjumpaan dan perbincangan, yang kebanyakkannya lebih berhubung urusan mengurus karenah manusia yang beragam. Mungkin sebagai pentadbir, kita sepatutnya menghitung, berapa nilai masa yang kita telah habiskan untuk perkara-perkara tersebut, namun hasilnya mungkin tak seberapa mana, menjadi cakap-cakap kosong tanpa gerak, tindakan dan pelaksanaan. Dan adakalanya saya merasakan, sebahagian perjumpaan dan perbincangan penting yang kita hadiri, telah turun kualitinya menjadi seperti persidangan tidak rasmi di meja-meja kopi untuk bersembang-sembang. Namun inilah realiti yang mungkin sebahagian kita telah tempuhi lalu menjadi pengalaman, dan mungkin masih terpaksa ditempuhi sehingga kini.





Sedar ataupun tidak, saya perlu mengakui, 5 tahun di sini telah saya lalui dengan pelbagai pengalaman baru dalam pentadbiran setelah meninggalkan dunia pendidikan di sekolah. Dari satu sudut yang lain, ia merupakan ilmu yang dapat ditimba berdasarkan pengalaman. Sesuatu yang unik tentang pengalaman ialah; ia merupakan hasil maklumat pengetahuan yang ditemui dengan pebagai corak, yang tidak selalunya seragam menurut perkiraan asas teori logik pemikiran. Oleh itu, pengalaman boleh dianggap satu ilmu dalam bentuknya yang tersendiri. Ia tidak mungkin diperolehi melainkan setelah dirasai dan dilalui. Adakalanya ia bertepatan dengan andaiaan dan congakan yang dijangka sebelumnya. Namun tidak kurang juga yang  berkesudahan sebaliknya. Kemungkinan, kata-kata Pete Seeger berhubung pengalaman,  mempunyai makna tersirat yang selari dan mendalam:


" Education is when you read the fine print. Experience is what you get if you don't"

Adakalanya semangat dan motivasi kita mula pudar atau mengurang, maka kita perlu melakukan sesuatu, untuk membangkitkan ianya semula. Sama ada melakukan sesuatu yang baharu, atau yang lama namun dengan pendekatan yang baharu, membuat perubahan atau mungkin juga melakukan penghijrahan ke tempat dan suasana yang baharu. 



Namun untuk semua itu, kita juga perlu mengambil masa untuk bermuhasabah, menyemak kembali niat asal yang menjadi tunjang motivasi Iman dalam diri, supaya kita menyedari hakikat sebenar kehidupan di dunia yang sementara ini. Dari situlah kita kembali melakukan pentashihan, memurnikan hati dan menjernihkan pemikiran. Oleh itu, saya kembali untuk membuat pentashihan menerusi coretan di sini dengan noktah asal "Segalanya Bermula dengan Niat"

Wednesday, 23 May 2012

Bingkisan buat Pendidik

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan Rasulullah sallallah alaihi wasallam, ahli keluarga baginda seterusnya para sahabat radiyallahu anhum ajmain.


Meneladai Dari Insan Yang Terpuji


Salah satu sebab kita perlu menoleh melihat lembaran sirah Rasulullah sallallah alaihi wasallam ialah kerana baginda adalah seorang pendidik yang unggul. Beliau bukan sahaja seorang guru akan tetapi seorang pendidik yang berkeperibadian tinggi. Untuk mereka yang ingin meneladani baginda tuhan sajikan firmanNya ini sebagai tatapan:


“Sesungguhnya pada Rasulullah itu terdapat contoh yang terpuji, bagi sesiapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan hari akhirat”

Sesugguhnya al-Quran telah menyatakan bahawa baginda merupakan pendidik kepada seluruh manusia. Walaupun baginda sendiri seorang yang ummi ( tidak mampu membaca ) dan tidak mempunyai pengajian yang formal tetapi baginda diajar secara langsung dari Allah Taala melalui perantaraan Jibril alaihi salam.

Rasul Adalah Seorang Guru dan Pendidik



Pada suatu hari Rasulullah keluar dari bilik dan masuk ke dalam masjid, di dalamnya terdapat dua kelompok, satu kelompok membaca al-Quran dan berdoa sementara kelompok yang lain pula sedang dalam majlis pengajian, mengajar dan belajar. Lalu baginda bersabda:


"Kedua-dua kelompok adalah baik. Golongan pertama membaca al-Quran dan berdoa, sekiranya Allah menghendaki nescaya dikabulkan doa-doa mereka atau tidak mengabulkannya. Manakala golongan kedua pula mengajar dan belajar, dan sesugguhnya aku diutuskan sebagai guru yang mendidik" lantas baginda duduk bersama mereka.



Dari Didikan Baginda Lahirlah Peribadi-peribadi Yang Unggul


Sejarah telah membuktikan bahawa baginda merupkan guru terulung yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapapun. Keadaan manusia yang begitu rosak sebelum kedatangan baginda dan perubahan positif ke arah nilai-nilai murni yang begitu mendadak setelah baginda menyampaikan mesej dakwah dan menyerapkan method-method yang mampu menarik perhatian seluruh manusia. Dan inilah bukti yang cukup ampuh dan kukuh bahawa baginda merupakan pendidik dan guru yang terunggul. Jika perbandingan dibuat dengan pendidik-pendidik lain maka siapakah yang berjaya melahirkan ramai peribadi-peribadi unggul yang mengikutinya. Dengan itu ulama pernah berkata:



"Seandainya Rasulullah tidak mempunyai satu mukjizatpun melainkan para sahabat yang mengikuti tarbiyah pendidikan baginda maka sudah memadai untuk membuktikan kenabian baginda”

    Keunggulan didikan baginda sehingga melahirkan sejumlah peribadi-peribadi yang unngul yang mencontohi baginda seakan-akan sebuah mukjizat yang perlu diakui oleh sejarah. Tidak ada satu insanpun di dunia ini yang diikuti, dicontohi dan disayangi seperti Rasulullah sallallah alaihi wasallam.


Berlaku Amanah Dalam Menyampaikan Ilmu.

  Antara sifat Rasul sebagai guru ialah menyampaikan. Baginda tidak pernah menyembunyikan kebenaran dan hak. Lantaran itu baginda pernah berpidato pada suatu hari: Baginda memuji Allah Taala dan kemudian menyebut tentang suatu kaum dan memuji mereka seraya bersabda:


"Mengapakah sebahagian kaum tidak mengajar jiran-jiran mereka? Dan menyedarkan mereka? Tidak menyuruh berbuat baik dan tidak pula mencegah dari kemungkaran? Dan mengapa pula sebahagian kaum yang lain tidak belajar dari jirannya? Dan tidak juga mengambil peringatan dari mereka? Demi Allah Taala, sesuatu kaum mestilah mengajar jirannya,memberi peringatan kepada mereka, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, atau nescaya akan dipercepatkan azab di dunia lagi! "


Sebahagian tulisan ini kami petik dari karya Sheikh Abd Fattah Abu Ghuddah yang berjudul ar-Rasul al-Muallim ( Rasul Sebagai Seorang Guru ) diolah sempena hari guru 2007

Monday, 15 June 2009

Pemikiran Ekonomi Bangsa Cina

  Saya tidak pernah mengajar di sekolah yang muridnya berbangsa cina. Namun sekiranya saya berpeluang berbuat demikian seketika lalu (Ini kerana saya telahpun meninggalkan profesion perguruan), antara tinjauan umum sebagai persoalan yang ingin saya buat ialah; berapa peratuskah anak-anak di kalangan masyarakat Cina yang bercita-cita untuk berkerja sebagai kakitangan kerajaan. Dengan menolak tepi beberapa sifat buruk yang ada pada segelintir mereka seperti menipu (setiap bangsa ada penipu) dan lain-lain, bagi saya bangsa Cina mempunyai beberapa ciri unik untuk lahir sebagai usahawan, atau setidaknya hidup dengan pendapatan sendiri. Beberapa bulan menimba pengalaman berkerja di bawah majikan yang berbangsa Cina pada penghujung tahun 2004 lalu membuka ruang interaksi untuk melihat perjalanan kehidupan harian masyarakat Cina.

    Bidang keusahawanan adalah bidang yang mencabar. Dengan meyakini persoalan rezki telahpun ditentukan Allah, umumnya bidang ini mungkin kurang berjaya sekiranya diceburi oleh mereka yang kurang kreativiti dan daya tahan untuk meneruskan sesuatu usaha. Bidang ini amat terdedah kepada perubahan-perubahan semasa, tidak sentiasa tetap, malah boleh diasak dan dicabar pada bila-bila masa sahaja.



    Menurut Chin Yee Mun (Dewan Ekonomi, Jan 2009), kemampuan bangsaCina untuk bergiat dalam bidang keusahawanan mempunyai perkaitan dengan kebolehan mereka untuk menguruskan perubahan dengan baik. Menurutnya lagi, dalam istilah Cina perniagaan ialah Sheng Yi yang membawa maksud hidup dan berfaedah. Usahawan Cina memahami bahawa perniagaan itu hidup iaitu sesuatu yang berubah-ubah dan membawa faedah. Ini bermakna usahawan Cina memahami bahawa perniagaan itu tidak statik.


    Penerimaan falsafah sedemikian oleh usahawan Cina juga sangat berkait rapat dengan budaya orang Cina sendiri yang dipengaruhi oleh ajaran Toisme dan Kung Fu-Tze. Ajaran Toisme mengajar pengikutnya bahawa dunia ini berubah-ubah akibat dinamik ying dan yang.. Untuk hidup mengikut falsafah bangsa Cina keseimbangan adalah penting untuk dipelihara. Buku I-Ching yang lebih dikenal sebagai buku perubahan merupakan salah satu ikon ajaran Toisme. Untuk dibandingkan dengan ajaran Kug Fu-Tze menurut beliau, ajaran Toisme lebih mempengaruhi budaya Cina di peringkat makro di mana peringkat mikro ajaran Kung Fu Tze mengutamakan ketertiban dan peraturan untuk menjamin keharmonian sesama manusia.(Baca setersunya dalam Dewan Ekonomi)

   Sahabat saya pernah menqiyaskan (menyamakan) beberapa persamaan bagi ciri-ciri yang ada pada seorang usahawan dengan ciri-ciri yang ada pada seorang dai (pendakwah). Katanya dai juga perlu kreatif untuk memasarkan dakwah seperti usahawan kreatif memasarkan produk, cuma bezanya pasaran dai lebih kepada mengharapkan ganjaran dan keuntungan akhirat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dengan mata hati yang penuh keimanan kepadaNya. Maka seseorang yang memiliki ciri-ciri seorang dai kemungkinan mampu untuk digilap untuk menjadi seorang usahawan begitu juga sebaliknya.