Dalam tulisan yang lalu ada saya nyatakan bahawa betapa niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla.
Adakalanya gambaran-gambaran kesufian mungkin agak melampau dan telah mencecah batas kudrat insani. Sehingga gambaran memburu mardhatillah itu tidak mungkin tercapai melainkan semua keperluan dan hajat manusia itu perlu dibuang sepenuhnya; seolah-olah menjadi para rahib dan sami-sami; atau ingin menyamai diri mereka dengan tahap malaikat ciptaan ilahi.

Sesugguhnya impian-impian dan tujuan-tujuan yang tidak tercela di sisi Allah merupakan impian yang sepatutnya mampu membawa manusia semakin hampir mencapai keredhaan Allah azza wajalla. Maka beramal dan berharaplah dengan keluasan rahmat Allah. Memintalah sebagai hamba yang sentiasa berasa dirinya miskin dan mengaharpkan kekayaan Allah azza wajalla. Percayalah, manusia meskipun mengetahui bahawa dirinya sangat hina, lemah dan berdosa namun tetap mengharapkan keampunan, rahmat dan syurga daripada Allah di akhirat. Apakah mereka yang berasa dirinya tidak mengharapkan apa-apa daripada Allah azza wajalalla merasakan diri mereka telah mulia dan tidak berdosa? Kaya dan tidak berhajat? Sempurna? Jangan berhenti berdoa, dan jangan berhenti berharap, kerana dengan berdoa dan berharap mampu mengekalkan kerendahan seseorang hamba. Sedangkan tuhan sahaja yang tidak pernah berharapkan sesuatu daripada sekalian makhluk-Nya.
(Dalam penulisan yang akan datang sekiranya diizinkan Allah, insha Allah kita akan kongsikan beberapa petunjuk al-Quran dan al-Sunnah berhubung perkara ini)
0 comments:
Post a Comment