
Sungguh Tuhan tidak membebankanmu dengan apa yang bukan kudratmu. Kau tidak dipinta memastikan pertambahan bilangan insan untuk kembali kepada Tuhan. Seruan Nuh menjadi saksi, meskipun lebih 900 tahun dakwah dan seruan, namun tidak sampai ratuspun yang beriman. Betapa ramai para nabi yang menyampaikan seruan, setelah mereka berpindah daerah barulah generasi kemudiannya beriman.
“Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah (kemana saja) di bumi ini? (al-Nisa 96-97).
Bisikan firman sering menguat jiwa. Mengemukakan alternatif bahawa, adakalanya bicara seruan memerlukan lembah baru yang subur untuk disemai benih-benih Iman. Moga tumbuh di sana nanti pohon-pohon yang teguh merendang. Memayungi dan melindungi penduduk serta penghuninya, menyantuni pengunjung yang bertandang ke daerahnya.
Catatan Ibn Jawzi dalam Sifat as-Sahwah juga membawaku kepada pesan riwayat Maymun bin Mahran berkenaan bicara, tentang seorang lelaki yang memohon untuk dirinya nasihat daripada sahabat baginda Salman a-Farisi.
Maka beliau berkata:
“Janganlah kamu berbicara” Maka lelaki itu bertanya: “Bagaimanakah seseorang yang hidup dalam kalangan manusia namun ia tidak berbicara?” Beliau menjawab: “Jika perlu untuk engkau berbicara maka katakanlah yang benar ataupun engkau diam”
Seorang ilmuan boleh bergetar bicara lidahnya kerana menahan marah sehingga dianggap sebagai seorang pengecut, namun ia sama sekali tidak wajar menjebakkan dirinya menjadi seorang yang tidak waras mahupun pendusta.
0 comments:
Post a Comment