Monday, 15 June 2009

Pemikiran Ekonomi Bangsa Cina

  Saya tidak pernah mengajar di sekolah yang muridnya berbangsa cina. Namun sekiranya saya berpeluang berbuat demikian seketika lalu (Ini kerana saya telahpun meninggalkan profesion perguruan), antara tinjauan umum sebagai persoalan yang ingin saya buat ialah; berapa peratuskah anak-anak di kalangan masyarakat Cina yang bercita-cita untuk berkerja sebagai kakitangan kerajaan. Dengan menolak tepi beberapa sifat buruk yang ada pada segelintir mereka seperti menipu (setiap bangsa ada penipu) dan lain-lain, bagi saya bangsa Cina mempunyai beberapa ciri unik untuk lahir sebagai usahawan, atau setidaknya hidup dengan pendapatan sendiri. Beberapa bulan menimba pengalaman berkerja di bawah majikan yang berbangsa Cina pada penghujung tahun 2004 lalu membuka ruang interaksi untuk melihat perjalanan kehidupan harian masyarakat Cina.

    Bidang keusahawanan adalah bidang yang mencabar. Dengan meyakini persoalan rezki telahpun ditentukan Allah, umumnya bidang ini mungkin kurang berjaya sekiranya diceburi oleh mereka yang kurang kreativiti dan daya tahan untuk meneruskan sesuatu usaha. Bidang ini amat terdedah kepada perubahan-perubahan semasa, tidak sentiasa tetap, malah boleh diasak dan dicabar pada bila-bila masa sahaja.



    Menurut Chin Yee Mun (Dewan Ekonomi, Jan 2009), kemampuan bangsaCina untuk bergiat dalam bidang keusahawanan mempunyai perkaitan dengan kebolehan mereka untuk menguruskan perubahan dengan baik. Menurutnya lagi, dalam istilah Cina perniagaan ialah Sheng Yi yang membawa maksud hidup dan berfaedah. Usahawan Cina memahami bahawa perniagaan itu hidup iaitu sesuatu yang berubah-ubah dan membawa faedah. Ini bermakna usahawan Cina memahami bahawa perniagaan itu tidak statik.


    Penerimaan falsafah sedemikian oleh usahawan Cina juga sangat berkait rapat dengan budaya orang Cina sendiri yang dipengaruhi oleh ajaran Toisme dan Kung Fu-Tze. Ajaran Toisme mengajar pengikutnya bahawa dunia ini berubah-ubah akibat dinamik ying dan yang.. Untuk hidup mengikut falsafah bangsa Cina keseimbangan adalah penting untuk dipelihara. Buku I-Ching yang lebih dikenal sebagai buku perubahan merupakan salah satu ikon ajaran Toisme. Untuk dibandingkan dengan ajaran Kug Fu-Tze menurut beliau, ajaran Toisme lebih mempengaruhi budaya Cina di peringkat makro di mana peringkat mikro ajaran Kung Fu Tze mengutamakan ketertiban dan peraturan untuk menjamin keharmonian sesama manusia.(Baca setersunya dalam Dewan Ekonomi)

   Sahabat saya pernah menqiyaskan (menyamakan) beberapa persamaan bagi ciri-ciri yang ada pada seorang usahawan dengan ciri-ciri yang ada pada seorang dai (pendakwah). Katanya dai juga perlu kreatif untuk memasarkan dakwah seperti usahawan kreatif memasarkan produk, cuma bezanya pasaran dai lebih kepada mengharapkan ganjaran dan keuntungan akhirat yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi dengan mata hati yang penuh keimanan kepadaNya. Maka seseorang yang memiliki ciri-ciri seorang dai kemungkinan mampu untuk digilap untuk menjadi seorang usahawan begitu juga sebaliknya.


0 comments: