Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah sallallah 'alaihi wasallam, ahli keluarga baginda, seterusnya para sahabat radiayllah 'anhum ajmain. Amma ba'd.
(Post ini asalnya adalah merupakan reply jawapan saya kepada beberapa orang sahabat beberapa bulan yang lalu berhubung dua isu, saya menyimpannya untuk rujukan peribadi di hari yang mendatang. Pandangan ini boleh diterima, dinilai atau ditolak sama sekali. Post reply ini agak panjang, saya masukkan sebahagiannya dulu)
(Post ini asalnya adalah merupakan reply jawapan saya kepada beberapa orang sahabat beberapa bulan yang lalu berhubung dua isu, saya menyimpannya untuk rujukan peribadi di hari yang mendatang. Pandangan ini boleh diterima, dinilai atau ditolak sama sekali. Post reply ini agak panjang, saya masukkan sebahagiannya dulu)
Saya telah menerima beberapa panggilan dan mesej dari beberapa orang sahabat tentang dua isu yang menjadi tajuk perbualan kebelakangan ini (2 bulan yang lalu). Pagi tadi panggilan telefon menyambut saya sebaik tibanya di pejabat. Buat sementara, saya melontarkan pandangan dan jawapan sekadar yang perlu. Ada perkara yang kadang-kadang sengaja kita tidak jawab untuk memberi ruang yang panjang kepada sahabat-sahabat kita berfikir dan menganalisa sendiri. Ada perkara yang kita tidak jawab kerana telah ada ramai yang bersedia menjawab. Sebahagian perkara kita tidak jawab kerana kita tidak suka terburu-buru dalam membuat analisa. Setiap manusia bertanggungjawab di atas kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan, apatah lagi yang berkaitan kepentingan Islam dan umatnya.
Saya faham sebahagian sahabat-sahabat yang melontarkan pertanyaan adakalanya bertujuan untuk menilai pandangan peribadi saya sedangkan masing-masing ada yang telah menyediakan jawapan untuk diri sendiri. Satu soalan mungkin mengandungkan banyak maksud; jawapan, reaksi, pandangan peribadi, menguji dan sebagainya.
Pandangan Yang Berbeza
Pandangan yang berbeza dalam sesuatu isu adalah disebabkan dimensi pemikiran yang berbeza, sudut-sudut pandang yang berbeza, kepentingan-kepentingan yang berbeza, nilai-nilai kefahaman yang berbeza, latar belakang yang berbeza dan pelbagai faktor-faktor lagi. Kekurangan di setiap lontaran pandangan tersebut membuktikan betapa keterbatasan akal manusia untuk membuat analisa secara keseluruhan isu tersebut. Pandangan-pandangan yang berbeza tersebut sekiranya mampu dicari titik-titik pertemuan, dan dianalisa juga titik-titik perbezaan maka dengan izin Allah akan mampu membuahkan sebuah lagi pendirian atau solusi yang yang lebih menenangkan ummah. Namun hakikatnya ia merupakan kerja yang sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Terjemahan 'God' Oleh Pihak Kristian Malaysia Dari 'Tuhan' Kepada 'Allah' Dalam Bahasa Melayu
Dalam Bahasa Inggeris 'God' membawa makna 'tuhan'. Penggunaan 'God Father' umpamaya merujuk kepada Tuhan Bapa dalam agama Kristian. Dalam Bahasa Melayu 'tuhan' adalah merujuk kepada apa yang disembah, diabdi termasuk dewa. Dengan definasi tadi tuhan adalah lebih am penggunaannya. Mereka yang mengabdikan kehidupan kepada harta-benda boleh dikatakan ber'tuhan'kan harta-benda. Adapun perkataan Allah adalah merujuk khusus kepada Allah yang Esa dalam agama Islam. (rujuk kamus dewan).
Apabila seoarang Muslim mengucapkan 'Tiada tuhan melainkan Allah' memberi maksud pengesaan tuhan hanyalah Allah. Maka perkataan Allah ini diterima pakai dalam masyarakat Malaysia Muslim amnya sebagai tuhan yang tiada sekutu oleh orang Islam.
Al-Quran Mencabar Masyarakat Arab Jahiliyyah
Al-Quran mencabar masyarakat Arab Jahiliyyah sekiranya terdapat tuhan selain Allah untuk menempelak berhala-berhala sembahan mereka. Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah seperti Allah itu Pemilik langit serta bumi dan Allah itu Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah SWT:
“Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?
“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?
“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?
“Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta.” (Al-Mu’minun: 84-90)
Begitulah konsep keesaan tuhan yang dibawa oleh al-Quran untuk mecabar masyarakat Arab Jahiliyyah. Sehingga tidaklah terpahat kukuh di hati-hati mereka yang beriman adanya tuhan yang lain melainkan Allah yang Esa.
Penyimpangan Nasrani Dalam Konsep Bertuhan
Diakui pada asasnya pertentangan antara Muslim dengan Kristian bukan kerana berebut penggunaan nama Allah tersebut. Maka tulisan Dr Mohd Asri mengenai perkara ini ada menyebutnya. Antara titik asas yang menjadi perbezaan di antara seorang Muslim dan Kristian ialah konsep 'trinity' dalam bertuhan. Muslim tidak menerima konsep penyukutuan ini dalam teras berakidah. Maka oleh itu bagi Muslim keimanan pada Allah hanya boleh diterima tanpa sekutu.
Maka oleh yang demikian penggunaan Allah sebagai terjemahan kepada 'God' amat sukar diterima terutama dalam masyarakat Islam Malaysia dengan maknanya yang umum. Sekiranya terjemahan tersebut diguna pakai seakan-akan lahirlah pula Allah Bapa, Allah Anak dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain masyarakat Islam di Malaysia hanya boleh menerima Allah itu digunakan sekiranya ia adalah Allah yang Esa. Sepertimana penggunaan perkataan agama dan Islam, di mana perkataan 'Islam' hanya diterima khas untuk orang Islam berlainan perkataan 'agama'.
Perkataan dan Istilah
Pada saya perkataan (nama) dan Istilah (makna) sama penting. Dalam sesetengah keadaan sememangnya isi lebih perlu diperjuangkan dari nama (perkataan), perkara ini mungkin dalam isi yang sama cuma namanya sahaja yang berbeza.
Namun, dalam banyak keadaan perkataan diperlukan untuk memperjuangkan isi. Sekiranya tidak, kita tidak mempunyai kerangka, tapak dan asas untuk kita berpijak. Kewujudan kamus-kamus atau istilah-istilah sudah menjadi tidak bermakna lagi.
Dalam memperjuangkan konsep-konsep tauhid umpamanya kita sukar membezakan lagi antara sesuatu sekiranya kita berkongsi banyak perkara dengan nama yang sama namun makna yang berbeza. Di celah-celah pertikaiaan tersebut akan lahir lebih ramai golongan sofis yang akan meragu-ragukan di sebalik penggunaan istilah dan nama.
Saya tidak pasti apakah faktor yang mendesak untuk pertukaran terjemahan 'God' bagi penganut Kristian Malaysia kepada Allah. Namun di celah-celah perebutan tersebut, umat Islam Malaysia mempunyai ruang baru untuk menggugat kekeliruan penyukutuan Allah oleh golongan Nasrani supaya penerimaan Allah tersebut perlu diterima bersama maknanya tanpa sekutu dengan yang lain sama sekali. Dimensi baru dalam pendidikan anak-anak Muslim memerlukan pengajaran terhadap konsep Tauhid yang lebih kukuh supaya mampu dibezakan peyimpangan yang berlaku pada dua lagi agama samawi. Sekiranya tidak, maka kemudharatan dengan penerimaan perkongisan terjemahan ini akan menyeret penyimpangan terhadap perkongsiaan maknanya sama sekali. Dalam perkara ini 'Maqasid Ammah' berdasarkan 'Dalil-dali Kulliy' untuk menjaga agama Islam itu sendiri perlu dicermati. Meskipun begitu perkara ini tetap mempunyai ruang ijtihad dalam menentukan keputusan Zanni antara yang betul dan yang tepat menurut Maqasid Syarai'e. Dalam banyak perkara, kesepakatan dalam perkara yang baik membawa keberkatan. Wallah 'alam.
Rujuk juga: