Thursday 21 November 2013

Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu

Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu


Assalamualaikum warahmatullah. Berikut adalah penjelasan ringkas melalui emel berhubung persoalan perkongsian bahagian akikah dalam seekor sembelihan unta/lembu.

Senario permasalahan ini ialah:

a) Apabila terdapat 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan unta atau lembu untuk tujuan aqiqah setiap seorang anak mereka masing-masing atau;

b) 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan, di mana sebahagian mereka hanya semata-mata ingin mendapatkan daging sembelihan, manakala sebahagian yang lain pula ingin menjadikan bahagian mereka tersebut sebagai aqiqah atau;

c) 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan, di mana sebahagian mereka ingin menjadikan bahagian mereka sebagai ibadah korban, manakala sebahagian yang lain pula ngin menjadikan bahagian mereka tersebut sebagai aqiqah.

Maka 3 senario di atas saya gambarkan dalam satu kes/permasalahan hukum iaitu: 


Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu.



Secara umumnya para ulama telah berselisih pendapat dalam permasalahan ini kepada 2 pandangan:


Pendapat Pertama: Harus. Ia merupakan pendapat al-Syafiiah. ( seperti yg telah dinukilkan oleh al-Nawawi dan al-Rafii’ berkenaan perkara ini ).

Kata al-Nawawi dalam al-Majmu’:

Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”
Hujah golongan ini adalah berdasarkan jalan Qias terhadap sembelihan korban dan permasalahan hady di mana terdapat keharusan perkongsian padanya.

Pendapat Kedua: Tidak Harus. Ini merupakan pendapat Hanabilah. Pendapat ini juga turut disandarkan kepada Malikiyyah. Ini bererti sekiranya seseorang itu ingin melakukan aqiqah dengan seekor unta atau lembu untuk anaknya, maka ia hanya boleh menanggung untuk seorang sahaja.

Hujah golongan ini ialah :

Pertama: Tidak warid nas dari sunnah tentang perkongsian dilakukan terhadap ibadah aqiqah ini. Adapun berkenaan ibadah korban ( udhiyah ), sememangnya terdapat nas yg mengharuskan perkongsian tersebut.

Kedua: Ia ( aqiqah ) merupakan fida’ ( sprt. tebusan ) terhadap satu nyawa dengan menyembelih seekor haiwan, maka satu tebusan nyawa hanya untuk satu dan tidak dibahagikan ia.

Maka dari keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa:


1) Hukum perkongsian bahagian aqiqah dalam seekor sembelihan unta/lembu adalah diperselisihkan ulama tentang keharusannya kepada 2 pandangan.

2) Pandangan yang mengharuskan perkongsian bahagian aqiqah dalam seekor sembelihan unta/lembu adalah berdasarkan jalan qias.

3) Ibadah korban sememangnya terdapat nas tersendiri yg mengharuskan perkongsian seekor sembelihan unta/lembu iaitu 7 bahagian.

Oleh itu, saya secara peribadi berkecenderungan bahawa; sekiranya terdapat kemampuan untuk mengasingkan aqiqah dari bahagian korban lembu/unta, maka itu adalah lebih baik dan lebih hampir dengan apa yg pernah dipraktikkan dalam al-Sunnah. Walau bagaimanapun, pandangan al-Syafiiah berdasarkan jalan qias dalam permasahan ini turut boleh diguna pakai dengan hujahnya yg tersendiri, sepertimana yg telah diamalkan oleh sebahagian masyarakat kita.

Wallah ‘alam.

Ringkasan Khutbah Sempena Gerhana Bulan (Khusuf)

Ringkasan Khutbah Sempena Gerhana Bulan (Khusuf)
Disampaikan di Masjid Universiti Putra Malysia (UPM) pada 16 Jun 2011

(Waktu Mula Gerhana Bulan: 1.25 a.m)






الحمد لله الذي جعل الليل والنهار خلفة لمن أراد أن يذكر أو أراد شكوراً، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، تعالى عما يقول الظالمون علواً كبيراً، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله بعثه بين يدي الساعة بشيراً ونذيراً وداعياً إلى الله بإذنه وسراجاً منيراً، صلى الله عليه وسلم وعلى آله وأصحابه وأتباعه بإحسان إلى يوم الدين.

أما بعد(يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا..). (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا * يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا..). (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ).

Segala puji bagi Allah tuhan yangg menjadikan pertukaran malam dan siang utk sesiapa yg ingin mengambil peringatan atau bersyukur. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah yangg Esa, tiada sekutu bagiNya. Saya bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan Rasul utusanNya Dibangkitkan sebagai nabi akhir zaman, sebagai pembawa berita gembira dan peringatan, penyeru kepada agama Allah dan menjadi pembawa cahaya dan rahmat untuk sekelian alam. Selawat & salam atas junjungan baginda Muhammad sallallah ‘alaihi wasallam, ahli keluarga baginda, sterusnya para sahabat ridwanullah ‘alaihim ‘jmain.



Sidang jemaah sekalian,

Marilah sama-sama kita untuk bertakwa dan takut kepada Allah, sepertimana yang sentiasa diingatkan oleh Allah kepad kita di dalam firmanNya:

“Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu Yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri jiwa yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang ramai. dan bertaqwalah kepada Allah Yang kamu selalu meminta Dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu”

“Wahai orang-orang Yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan Katakanlah perkataan Yang tepat - benar (dalam Segala perkara). Supaya ia memberi taufiq Dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah) sesiapa Yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka Sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah Dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam”
Sidang jemaah sekalian,Sesungguhnya seorang Muslim yagg sejati, ketika mana berlaku kejadian yang besar berkaitan dengan alam ciptaan Allah di sekelilingnya, seperti gerhana matahari dan gerhana bulan, patutlah untuk dirinya mempunyai titik berhenti mencari ruang waktu, untuk mengambil iktibar dan pengajaran darinya. Keadaan ini lahir daripada akidah keimanan yg terpahat dihatinya, apabila melihat ciptaan Allah di sekelilingnya. Hati seorg muslim itu perlulah sentiasa diingatkan untuk sentiasa bersama tuhannya. Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya segala makhluk ciptaan Allah ini; manusia dan jin, langit & bumi, planet-planet dan bintang-bintang, dan setiap makhluk kejadianNya, samada kita ketahui atau tidak ketahui, semuanya perlu patuh dan tunduk kepada Allah swt, melaksanakan apa yg dikehendaki Nya, dan tidak boleh meningkari atau berpaling dari arahanNya

Muslim yang terpahat Iman di hatinya mengetahui, sesungguhnya segala yang berlaku, baik berupa kemudharatan atau manfaat, semuanya terletak pada kekuasaan Allah s.w.t. Dan sesungguhnya segala kejadian alam yang berlaku, berupa gempa bumi dan gunung berapi, guruh kilat dan hujan yg membasahi bumi, angin ribut, ombak besar dan tsunami, gerhana bulan dan matahari, semuanya berlaku dengan kehendak dan ketentuan Allah, yang terkandung di dalamnya hikmah yg dikehendakiNya, samada manusia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya.

Seorang Muslim yang benar imannya akan terkesan hatinya, apabila melihat tanda-tanda kekuasaan dan penciptaan Allah terhadap alam ini, apatah lagi sekiranya dilihat dengan kedua matanya. Kejadian-kejadian ini akan mengingatkan dirinya, menghidupkan hatinya, memperbaharui Imanya, dan menjadikan dirinya sentiasa berhubung dengan Allah dalam keadaan mengingatiNya, mensyukuri nikmatNya, dan memohon perlindunganNya dari kemarahan dan kemurkaanNya.

Sesungguhnya kita mengakui bahawa, secara zahirnya kejadian alam yg berlaku ini mempunyai sebab-sebab tabii’, ahli-ahli falak dan astronomi dengan izin Allah mampu menjagkakakan bila berlakunya kejadian ini sebelum ia berlaku, dengan cara pengiraan yang tertentu, mereke dapat menentukan hari, jam dan waktu bila ia akan berlaku. Begitu juga kita perlu mengakui bahawa, secara zahirnya kejadian ini turut mengandungi sebab penting dari sudut syariat, iaitu sebagai ujian Allah untuk menggentarkan hambaNya, mengingatkan balasan terhadap apa yang dilakukannya, dan dosa yang dikerjakannya. Maka Allah menjadikan perkara-perkara ini sebagai sebab untuk mengejutkan diri kita dari kelalaiaan, supaya kita mempunyai ruang untuk bermuhasabah, merenung keadaan diri, memohon taubat serta memperbetulkan kesalahan yg kita pernah lakukan selama ini.
Wahai hamba-hamba Allah,
Sesungguhnya kejadian gerhana bulan atau matahari, hilangnya cahaya samada sebahagian atau keseluruhan, merupakan peringatan kepada hamba-hambaNya. Supaya kita sentiasa mendirikan segala perintahNya, dan menjauhi segala tegahan dan laranganNya. Kejadian gerhana di zaman kita kebelakangan tahun ini lebih kerap berlaku, berbanding berlakunya ia di zaman kehidupan baginda nabi s.a.w, maka seharusnya ia lebih menyedarkan kita sebagai umat baginda di akhir zaman. Gerhana matahari umpamanya, berlaku sekali di zaman baginda selepas hijrah, ia kebetulan berlaku di hari kematiannya anaknya Ibrahim, sehingga ada yang menyangka bahawa gerhana berlaku akibat kematian Ibrahim, maka baginda bersabda mafhumnya:

'Sesungguhnya matahari dan bulan (adalah dua dari tanda tanda kebesaran Allah Keduanya tidak gerhana karena meninggal atau hidupnya seseorang. Apabila kamu melihatnya, maka soalatlah (gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga ia menjadi cerah kembali.'"
Sidang jemaah sekalian,

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w ketika berlakunya gerhana tersebut, baginda terasa cemas mengingatkan saat-saat mungkinnya berlaku hari kiamat. Kemudian beliau menuju ke masjid, baginda s.a.w mengimami solat orang ramai, beliau melakukan solat dengan berdiri lama, Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:

Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda(kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah,bertakbir, bersolat dan bersedekah. Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis”


Di dalam riwayat yang lain menyatakan bahawa, kebimbangan baginda nabi akan berlakunya sesuatu yang buruk pada saat tersebut, membuatkan baginda berdoa dalam sujudnya:


"Ya Tuhanku, engkau telah berkata yang engkau tidak akan menyiksa umatku selagi aku berada bersama mereka ,dan selagi mereka meminta keampunan engkau."

Begitulah apa yg berlaku pada baginda s.aw, namun apa yang mendukacitakan kita, apabila terdapat sebahagian umatnya kini sudah tidak menyedari lagi akan perkara ini, kita hanyut dalam kelalaiaan dan kelapaan dunia, lupa akan kehadiran dan kebenaran hari akhirat.

Sidang jemaah yang dikasihi,
Seharusnyalah kita memiliki perasaan takut dan gentar seperti yg dirasai oleh baginda nabi s.a.w, menuju ke masjid mendiriklan solat, berdoa dan memohon kemapunnanNya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Kedua

الحمد لله معزِّ من أطاعه واتقاه، ومذلِّ من خالف أمرَه وعصاه، أحمد ربي وأشكره على ما أولاه، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، لا إله سواه، وأشهد أن نبينا وسيدنا محمداً عبده ورسوله، اصطفاه ربه واجتباه، اللهم صل وسلم وبارك على عبدك ورسولك محمد، وعلى آله وصحبه ومن والاه.
أما بعد:
أَمَّا بَعْدُ فَيَا أَيُّهَا المُؤْمِنُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ

Wahai hamba Allah,

Marilah kita mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah yg diperlihatkanNya di dunia ini, marilah kita mengingati kebenaran hari akhirat. Hari di mana tidak bermanfaat lagi harta-benda, anak pinak dan saudara mara, melainkan siapa yang mampu bertemu tuhyannya dengan hati yang sejahtera
1. Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
2. Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak bertaburan;
3. Dan apabila gunung-ganang dihancurkan dan di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);
4. Dan apabila unta-unta Yang bunting terbiar;
5. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
6. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
7. Dan apabila tiap-tiap jiwa disatukan;
8. Dan apabila anak perempuan Yang ditanam hidup-hidup: ditanya dan dipersoalkan..
9. Dengan dosa apakah ia dibunuh?
10. Dan apabila lembaran-lembaran catatan amal dibentangkan;
11. Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
12. Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;
13. Dan apabila syurga didekatkan;
14. (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang ketika itu akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.
Sidang jemaah sekalian,

Sesungguhnya sebahagian bala dan bencana yang berlaku adalah disebabkan perbuatan dosa hamba. Sesungguhnya telah diazab kaum Nuh dengan ditenggelamkan mereka, dibinasakan kaum ‘Ad dengan dengan angin yg sangat kencang, dihancurkan kaum Thamud dengan teriakan yg luarbiasa, dan diterbalikkan kaum Lut bumi dan rumah-rumah mereka, sehingga yg bawah berada di atasnya, serta ditimpakan lagi ke atas mereka hujan batu, sebagai balasan dosa dan keingkaran mereka.

Tidaklah zahir kemaksiatan di sesuatu negeri melainkan ia dihancurkan, tidaklah tersebar kemaksiatan dala satu umat melainkan ia akan direndahkan, tidaklah berleluasa kemaksiatan dalam satu negara melainkan ia akan dijatuhkan. Sesungguhnya balasan dan hukuman tuhan berbeza-beza, boleh jadi ia merupakan gempa bumi yg begitu dahsyat dan menakutkan, boleh jadi ditimpa fitnah huru-hara dan peperangan, boleh jadi juga keruntuhan ekonomi dan sbgainya.

Maka ketahuilah dan sedarilah kita sebagai hambaNya bahawa, tuhan yg memberi peringatan dengan gerhana matahari dan bulan mampu untuk menggoncangkan bumi yang berada di bawah tapak kaki berdirinya kita, tuhan yg mampu mengirimkan tenteraNya yang tak mampu untuk ditentang mahupun ditumpaskan oleh sesiapa. Oleh itu renungilah firman Allah dalam surah al-Mulk yg berbunyi:

16. Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan Yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu Dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?
17. atau Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah Yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut Yang menghujani kamu Dengan batu; maka Dengan itu, kamu akan mengetahui kelak Bagaimana buruknya kesan amaranKu?
18. dan Demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) Yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); Dengan Yang demikian, (perhatikanlah) Bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.
Dengan peringatanNya itu, marilah kita sama-sama kembali kepada Allah, tuhan Yang Mengasihi hamba-hambaNya yg beriman, tuhan Yang Kaya dgn sifat keampunan, tuhan yg hanyasanya Ia disembah dan dipohon pertolongan.



اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ
ربنا ظلمنا أنفسنا و إن لم تغفر لنا و ترحمنا لنكونن من الخاسرين
عِبَادَ اللهِ ! إِنَّ اللهَ يَأْمُرُبِالعَدْلِ وَالإ حْسَانِ وَاِيْتَآءِ ذِيْ القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ وَالبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ فَاذْكُرُوْا اللهَ العَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْا عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكَمْ وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُوْنَ