Hadis berhubung niat ini telah mendapat nilaian yang tinggi di sisi ulama serta sentiasa menajadi perbahasan dalam kalangan ulama baik dari sudut Syariah (Fiqh) mahupun Tasawwuf.
Sebahagian ulama seperti al-Imam al-Bukhari rahimahullah telah memulakan karya Sahihnya dengan hadis ini. Hal yang sama telah dilakukan oleh al-Nawawi dalam "Arbain".
Menurut sebahagian ulama, hal ini sengaja dilakukan oleh mereka, untuk memperingatkan diri mereka sendiri dan mereka yang sesudahnya, supaya membetulkan niat dalam setiap perkara, termasuklah dalam menuntut ilmu. Berhubung hadis ini 'Abd Rahman Mahdi pernah menyatakan:
"Adalah patut untuk dijadikan hadis ini sebagai permulaan bagi setiap bab"
Hal ini mungkin boleh membantu setiap penuntut ilmu untuk membersihkan niat di hatinya, dan peringatan ini akan datang setiap kali mereka bertemu permulaan bab yang baru. Perbahasan-perbahasan berhubung hadis ini boleh ditemui dalam pelbagai karya para ulama dengan huraiaan yang panjang.
Pelbagai Niat dan Tujuan yang Baik
Niat sering dikaitkan dengan persoalan keikhlasan, kemurnian, kesucian dan ketulusan hati. Tujuan tertinggi atau terakhir yang ingin dicapai oleh seorang Mukmin tidak lain dan tidak bukan, melainkan untuk menggapai keredhaan daripada Allah azza wajalla.
Namun dalam sesetengah usaha yang kita lakukan, kita mungkin mempunyai lebih dari satu niat dan tujuan. Sesugguhnya niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla.
Seorang doktor yang merawat pesakit umpamanya, mempunyai niat untuk membantu masyarakatnya, membangunkan umat dan negaranya, memberikan perkhidmatan terbaik kerana amanah terhadap majikannya, melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakatnya, mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya di mana kesemua itu merupakan tujuan yang baik yang sewajarnya akan membawanya mencapai tujuan tertinggi, iaitu mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Hal ini tidak sewajarnya menjadi kontradiks sepertimana yang difahami oleh sesetengah pihak. Insan yang bergelar hamba sememangnya sentiasa berhajat untuk bernaung di bawah kebesaran, kekayaan dan keluasan rahmat Allah s.w.t. Sifat lemah, hina, memerlukan pergantungan, miskin, berharap merupakan sifat-sifat seorang hamba yang diperlukan apabila berhadapan dengan tuhan-Nya.
Adalah agak pelik, seorang hamba yang sememangnya berhajatkan segala-galanya daripada tuhan-Nya, namun secara tidak sedar bersifat sombong dan angkuh; atau juga ada yang menyatakan bahawa dia tidak memerlukan semua itu kecuali keredhaan tuhan-Nya semata-mata; atau beramal namun dia tidak berhajatkan syurga kecuali redha tuhan-Nya semata-mata; atau tidak kisah walaupuun berada di neraka sekiranya tuhan redha untuk dirinya berada di sana. Ia adalah sifat yang bersalahan dengan fitrah nurani seorang hamba itu sendiri yang bersifat lemah dan sangat mendambakan segala limpahan rahmat dan kebaikan daripada tuhan-Nya.
Sudah tentu, kita sebagai seorang hamba; amat-amat mengharapkan redha Allah s.w.t begitu juga syurga-Nya, sepertimana kita memohon juga perlindungan daripada kemurkaan Allah s.w.t dan neraka-Nya. Hal ini seperti doa yang sering kita panjatkan sebagaimana yang diajar oleh baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam:
اللهم إني أسألك رضاك والجنة وأعوذ بك من سخطك والنار
Mafhumnya: " Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keREDHAan-Mu dan SYURGA, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada keMURKAan-Mu dan NERAKA"
Maka apakah berdoa mengrapkan syurga tuhan itu mencacatkan keikhlasan? Dan siapakah pula kita yang miskin dan lemah ini untuk berlagak kaya daripada meminta dan mengharapakan segala-galanya daripada Yang Maha Kaya itu?
Lihat:
Segalanya Bermula dengan Niat I:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-i.html
Segalanya Bermula dengan Niat II:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-ii.html
Segalanya Bermula dengan Niat III:http://notefrommydesk.blogspot.com/2013/12/segalanya-bermula-dengan-niat-3.html
Lihat:
Segalanya Bermula dengan Niat I:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-i.html
Segalanya Bermula dengan Niat II:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-ii.html
Segalanya Bermula dengan Niat III:http://notefrommydesk.blogspot.com/2013/12/segalanya-bermula-dengan-niat-3.html
0 comments:
Post a Comment