Thursday, 4 October 2012

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT I

Telah tersangat lama saya tidak menulis di ruangan blog. Bermula dengan kesibukan, dan ia akhirnya mula ditinggalkan. Semakin lama ia ditinggalkan, semakin tidak tahu untuk mencoretkan sesuatu. Tidak mustahil, sekiranya saya tidak rajin mengasah pena, maka kemampuan penulisan saya boleh mengurang dan akhirnya menghilang. 

Sungguh dunia pentadbiran amat berbeza dengan dunia pendidikan. Menjarakkan saya dengan ilmu dan buku, diskusi dan majlis-majlis ilmu, yang sangat menjadi kegemaran rutin harian saya untuk dipenuhkan masa dengannya. 

Masa kebanyakannya dihabiskan dengan mesyuarat, perjumpaan dan perbincangan, yang kebanyakkannya lebih berhubung urusan mengurus karenah manusia yang beragam. Mungkin sebagai pentadbir, kita sepatutnya menghitung, berapa nilai masa yang kita telah habiskan untuk perkara-perkara tersebut, namun hasilnya mungkin tak seberapa mana, menjadi cakap-cakap kosong tanpa gerak, tindakan dan pelaksanaan. Dan adakalanya saya merasakan, sebahagian perjumpaan dan perbincangan penting yang kita hadiri, telah turun kualitinya menjadi seperti persidangan tidak rasmi di meja-meja kopi untuk bersembang-sembang. Namun inilah realiti yang mungkin sebahagian kita telah tempuhi lalu menjadi pengalaman, dan mungkin masih terpaksa ditempuhi sehingga kini.





Sedar ataupun tidak, saya perlu mengakui, 5 tahun di sini telah saya lalui dengan pelbagai pengalaman baru dalam pentadbiran setelah meninggalkan dunia pendidikan di sekolah. Dari satu sudut yang lain, ia merupakan ilmu yang dapat ditimba berdasarkan pengalaman. Sesuatu yang unik tentang pengalaman ialah; ia merupakan hasil maklumat pengetahuan yang ditemui dengan pebagai corak, yang tidak selalunya seragam menurut perkiraan asas teori logik pemikiran. Oleh itu, pengalaman boleh dianggap satu ilmu dalam bentuknya yang tersendiri. Ia tidak mungkin diperolehi melainkan setelah dirasai dan dilalui. Adakalanya ia bertepatan dengan andaiaan dan congakan yang dijangka sebelumnya. Namun tidak kurang juga yang  berkesudahan sebaliknya. Kemungkinan, kata-kata Pete Seeger berhubung pengalaman,  mempunyai makna tersirat yang selari dan mendalam:


" Education is when you read the fine print. Experience is what you get if you don't"

Adakalanya semangat dan motivasi kita mula pudar atau mengurang, maka kita perlu melakukan sesuatu, untuk membangkitkan ianya semula. Sama ada melakukan sesuatu yang baharu, atau yang lama namun dengan pendekatan yang baharu, membuat perubahan atau mungkin juga melakukan penghijrahan ke tempat dan suasana yang baharu. 



Namun untuk semua itu, kita juga perlu mengambil masa untuk bermuhasabah, menyemak kembali niat asal yang menjadi tunjang motivasi Iman dalam diri, supaya kita menyedari hakikat sebenar kehidupan di dunia yang sementara ini. Dari situlah kita kembali melakukan pentashihan, memurnikan hati dan menjernihkan pemikiran. Oleh itu, saya kembali untuk membuat pentashihan menerusi coretan di sini dengan noktah asal "Segalanya Bermula dengan Niat"

0 comments: