Tiada siapa yang boleh menyangkal perjalanan sejarah yang telah pun tercatat. Perjuanganyang dilakukan oleh mereka yang dahulu dalam menuntut kemerdekaan tanahair merupakan sebuah pengorbanan yang wajar untuk dihargai, meskipun sejarah dan peristiwanya hanya seskali dikenang oleh generasi hari ini. Itulah hakikat sejarah, ia telahpun berlalu dalam lipatan masa yang ditinggalkan. Maka tidak wajar untuk manusia yang ditakdirkan Allah untuk hidup di masa dan ketika ini, asyik terkenangkan sejarah sehingga menjadikan dirinya tertinggal di masa yang lalu, sehingga dia melupai hakikat dan realiti perjuangan yang perlu ia tempuhi hari ini. Kita membaca sejarah bukan untuk berada di belakang masa, tetapi untuk mempelajari sesuatu dari masa lampau bagi menghadapi realiti hari ini dalam ruang masa yang berbeza. Herodotus yang mendapat gelaran bapa sejarah menyatakan: Sejarah ialah satu kajian untuk menceritakan satu kitaran jatuh bangunnya seseorang tokoh, masyarakat dan peradaban.
Mereka yang mengabaikan sejarah adalah mereka yang tidak menghargai pelajaran dan pengalaman yang ditinggalkan oleh generasi yang lalu. Mereka merasakan bahawa kehidupan yang mereka lalui hari ini adalah di zaman yang serba canggih dan maju berbanding dahulu. Maka bagi mereka tidak ada gunanya bercakap tentang sejarah kerana ia telahpun berlalu. Mereka cuma berminat untuk berhujah dengan kenyaaan-kenyataan hari ini tanpa melihat pengalaman semalam yang amat berharga untuki dijadikan pelajaran dalam kehidupan. Begitulah sikap sesetengah manusia yang angkuh dan ego di setiap zaman. Mereka menyangka zaman mereka adalah yang termaju dan tercanggih. Sedangkan ukuran kemajuan itu cuma diukur dari beberapa sudut tertentu mengikut pemikiran mereka yang terbatas. Maka dalam setiap tamadun manusia terdapat persepsi segolongan manusia yang menganggap bahawa tamadun mereka adalah yang terhebat.
Mereka yang mengabaikan sejarah adalah mereka yang tidak menghargai pelajaran dan pengalaman yang ditinggalkan oleh generasi yang lalu. Mereka merasakan bahawa kehidupan yang mereka lalui hari ini adalah di zaman yang serba canggih dan maju berbanding dahulu. Maka bagi mereka tidak ada gunanya bercakap tentang sejarah kerana ia telahpun berlalu. Mereka cuma berminat untuk berhujah dengan kenyaaan-kenyataan hari ini tanpa melihat pengalaman semalam yang amat berharga untuki dijadikan pelajaran dalam kehidupan. Begitulah sikap sesetengah manusia yang angkuh dan ego di setiap zaman. Mereka menyangka zaman mereka adalah yang termaju dan tercanggih. Sedangkan ukuran kemajuan itu cuma diukur dari beberapa sudut tertentu mengikut pemikiran mereka yang terbatas. Maka dalam setiap tamadun manusia terdapat persepsi segolongan manusia yang menganggap bahawa tamadun mereka adalah yang terhebat.
Dari penjuru lain, terdapat juga kelompok manusia yang terlalu mengagungkan sejarah sehingga menjadikan ianya sebagai ramalan untuk menentukan masa depan yang masih ghaib di sisi Allah azza wajalla. Sesungguhnya dalam banyak perkara dan keadaan, sifat keterlaluan amatlah tidak baik. Oleh itu Islam mengambil pendekatan yang sederhana. Sesebuah tamadun yang terbina kukuh adalah mungkin dari hasil kesinambungan beberapa generasi dari beberapa masa dan zaman. Umat Islam tidak sewajarnya melemparkan keilmuan dan pengalaman masa lalu yang begitu berharga, melainkan mencari kesinambungan di antara keduanya untuk berhadapan dengan realiti hari ini. Al-Quran sentiasa menganjurkan kita mengambil 'ibrah (pengajaran) dari kisah-kisah masa lalu seperti firmanNya:
“Maka ambillah (Kejadian itu) untuk menjadi pengajaran wahai orang-orang yang mempunyai mata hati.” (al Hasyr: 2)
Al-Quran mengungkapkan dengan pesanan 'Fa’tabiru Ya Ulil Absor’, dan ambillah iktibar wahai orang yang berfikir. Iaitu orang yang disifatkan mempunyai bashiroh atau mata hati. Dalam memberi makna ‘Fa’tabiru’ sebahagian ulama usul menafsirkannnya sebagai ‘Faqisu’ yang bermaksud maka kiaskanlah, kiaskanlah peristiwa yang lalu itu terhadap diri kamu, mudah-mudahan kamu beroleh peringatan dan pelajaran.
Pengulangan Sejarah
Sejarah secara hakikatnya memang tidak berulang, maka oleh itu ia dinamakan sejarah bersama rekod tarikh dan peristiwanya yang telahpun berlalu. Namun apa yang mungkin kembali dan berulang adalah tabiat dan fitrah manusia yang hampir sama di setiap zaman dan masa. Meskipun berhadapan dengan wajah peradaban zaman yang berbeza, namun terdapat sunnatullah terhadap alam ini yang perlu diperhatikan. Sekiranya sifat dan tabiatnya cukup secara ukuran hukum akal untuk menghasilkan kejadian-kejadian yang hampir sama yang pernah berlaku dalam sejarah manusia, maka bagi Allahlah di tanganNya segala kekuasaan. Apa yang pasti, kitaran perjalanan kehidupan dan jatuh bangun sesebuah bangsa ini sentiasa dipergilirkan oleh Allah ke atas umat manusia. Mafhum firmanNya yang bermaksud:
"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)” (Ali Imran 3:140)
Walaubagaimanapun mengenai teori pengulangan sejarah (Repeating History) ini pernah menjadi tajuk perbincangan di kalangan ahli sejarah. Apakah peristiwa-peristiwa sejarah yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu boleh berlaku pula pada masa-masa yang berlainan. Ini kerana sejarah itu dianggap sebagai suatu gejala yang berulang-ulang di mana sesuatu peristiwa itu berlaku berulang kali di dalam satu proses kitaran yang saling berkaitan serta silih berganti, samada berulang secara keseluruhannya ataupun sebahagiannya.
Menghayati Perjuangan Kemerdekaan
Menghayati kemerdekaan bukan sekadar untuk menjadikan ia hanya sebagai sesuatu yang indah dikenang kerana telah berlalunya masa, atau merasa cukup dengan apa yang ada tanpa perlu berbuat apa-apa, kerana sifat yang sedimikian itu adalah sifat mereka yang tidak memiliki roh perjuangan, semangat untuk membuat pembaharuan dan penambah-baikan. Ia adalah sifat yang lesu dari menghayati nilai perjuangan itu sendiri. Sifat bagi sesebuah perjuangan adalah sentiasa memiliki penerusan, istiqamah dan kesinambungan. Dan inilah yang sentiasa diteruskan oleh generasi-generasi yang sedar akan sebuah tuntutan dan tanggungjawab terhadapa agama, bangsa dan negaranya.
Dari Era Kebangsaan Menuju Era Keislaman
Perjuangan di tanah Melayu sejak sebelum Merdeka sememangnya telah dipengaruhi oleh beberapa corak perjuangan. Namun di saat-saat negara hampir mencapai kemerdekaannya dari jajahan British, perjuangan yang bersifat nasionalisme dan kebangsaan berjaya menerajui pemikiran umat Melayu ketika itu. Lantaran itu corak-corak lain yang seperti komunisme dan keislaman telah dipinggirkan. Adapun komunisme adalah amat jauh untuk beradaptasi dengan peradaban bangsa Melayu. Sementara pemahaman dan pengamalan tentang Islam ketika itu masih berada di tahap yang terumbang-ambing dan sukar untuk dipercayai masyarakat mampu menerajui kepimpinan negara. Maka semangat kebangsaan adalah semangat yang berjaya diterima secara kebanyakannya ketika itu.
Dengan pemberian definisi yang mungkin terdapat perbezaan terhadap maksud kebangsaan itu sendiri oleh beberapa tokoh tertentu mengikut pemahaman mereka, namun hakikatnya elemen bangsa sememangnya tidak dapat dinafikan terjelma di dalamnya. Hans Korn dalam bukunya The Idea of Nationalism umpamanya mendifinasikan nasionalisme sebagai suatu keadaan fikiran seseorang yang menekankan kepada perasaan cinta terhadap ibu pertiwi, mempunyai kebudayaan yang sama, serta kesetiaan terhadap agama dan keturunan. Perasaan cintakan negara dan tanahair adalah suatu fitrah sedia tertanam dalam diri manusia dan tidak pernah dinafikan oleh agama. Namun perasaan ini tidaklah sampai bersifat keterlaluan.
Perkara sebegini sememangnya berlaku dalam mana-mana perjuangan bangsa. Bangsa Arab sendiri sebelum diutus baginda Rasul sallallah 'alaihi wasallam berada dalam semangat yang sama. Namun pengutusan baginda telah membuka ruang perjuangan menjadi lebih luas dari sempadannya yang lalu. Dari sifat bangsa dan kedaerahan kepada sifat universal dan sejagat. Lalu keadilan memayungi setiap bangsa dan agama di bawah kepimpinannya. Lantaran agamanya yang dipimpin oleh wayhu, maka terhasillah keutuhan di setiap prinsip dan ajarannya, maka umat manusia mula menerima Islam sebagai perjuangan yang menyelesaikan masalah secara keseluruhannya. Maka di kalangan umat Islam sendiri tidak ada yang lebih mulia di sisi Allah melainkan dinilai berdasarkan ketakwaannya.
Begitulah yang sedang berlaku dalam masyarakat Islam dunia dan khususnya Malaysia kini. Umat mula mencari penyelesaiaan yang lebih bersifat menyeluruh. Kelahiran generasi Muslim baru meskipun dilihat oleh segelintir pihak seakan-akan melupai perjuangan generasi lama. Namun di minda mereka terpahat usaha untuk meneruskan kesinambungan dan melengkapkan kekurangan perjuangan yang lalu. Moga sejarah dan hari ini menjadi mata rantai dalam mebina sebuah peradaban yang gemilang, selagi generasi hari ini tidak lupa untuk sesekali menoleh untuk belajar dari sejarah lampau, dan genrasi lalu yang masih hidup pula perlu mula belajar memahami perjuangan dan realiti hari ini.
Pengakajian sejarah boleh menjadi sebuah teori dan pelajaran dalam membina sebuah gagasan baru yang lebih mantap. Tiada siapa yang berhak meramalkan masa depan yang masih dalam pengetahuan dan ilmuNya. Namun hanya teori pengkajian sejarah yang dibuat oleh Ibn Khaldun terhadap bangsa-bangsa yang lalu secara umumnya pernah menyatakan bahawa; sesungguhnya peradaban bangsa kebanyakannya akan bertahan paling lama sehingga seratus dua puluh tahun yang terdiri dari 3 generasi.
Generasi pertama hidup dalam badawah yang keras dan jauh dari kemewahan, penuh dengan watak positif pengembara, kebangsaan yang sangat kukuh menyatukan masyarakat, memberi kekuatan dan mempunyai kesanggupan untuk menguasai bangsa lain. Generasi kedua ialah generasi ini meraih hasil dan kekuasaan lalu mendirikan negara, maka terjadi peralihan dari badawah kepada hadharah (kota). Kemewahan mulai muncul, rasa puas dengan apa yang dimiliki melonggarkan kebangsaan. Rasa rendah dan suka menyerah juga mulai tampak. Generasi ketiga pula adalah generasi yang telah lupa pada peringkat dua fasa yang lalu. Kemewahan mula merosak dalam kehidupan. Pada generasi ketiga ini negara mula mengalami kejatuhan dan akhirnya hancur.
Selamat Meneruskan Perjuangan!