Monday 6 December 2010

HASAN TURABI DI DALAM BUKUNYA BERTAJUK “TAJDID USUL FIQH AL-ISLAMI"

    Dua tahun lalu saya telah membaca tulisan Hasan Turabi di dalam bukunya bertajuk “Tajdid Usul Fiqh al-Islami”. Di dalam bukunya itu beliau memberi fokus terhadap satu bidang yang amat memerlukan Tajdid iaitu dalam bidang Usul Fiqh Islami. Menurut beliau menjadi kemestiaan untuk menjadikan ilmu Usul Fiqh sebagai ilmu yang mampu dihubungkannya dengan realiti kehidupan. Ini adalah disebabkan permasalahan-permasalahan Usul Fiqh yang lampau telah diambil secara terasing sehingga menjadikan ianya perbahasan-perbahasan teori yang mandul serta hampir-hampir tidak melahirkan Fiqh namun sering melahirkan perdebatan yang tidak berkesudahan. Oleh kerana sifat Fiqh itu sendiri yang sentiasa hidup dan berkembang berhadapan dengan permasalahan-permasalahan semasa maka menjadi kemestian untuk ilmu Usul Fiqh itu turut berkembang bersama Fiqh yang hidup.

    Dari karya ringkas yang telah dihasilkan beliau ini dapatlah disimpulkan bahawa pada peringkat awalnya terdapat satu saranan penting yang cuba diketengahkan iaitu pembaharuan dalam Usul Fiqh. Setelah sekian lama ilmu Usul Feqh klasik terperangkap dalam perbahasan-perbahasan teori yang hanya melahirkan banyak perdebatan yang tidak berkesudahan maka Tajdid dalam bidang Usul Fiqh mengajak kepada sebuah anjakan perubahan dari perbahasan-perbahasan teori yang mati kepada melahirkan natijah Fiqh yang hidup serta bersifat realiti dan semasa. (Ia adalah sesuatu yg. saya akui berdasarkan pengalaman pengajian Dirasah Nassiyah dari perbendaharaan kitab-kitab lama)

    Jika ditinjau pada peringkat awal penulisannya itu amat sukar untuk dipastikan sejauh mana maksud saranan tersebut serta ke arah mana pula halatuju pembaharuan itu akan dibawa. Apakah aspek pembaharuan yang dimaksudkan itu ialah dalam kaedah pembelajaran ilmu Usul Fiqh sahaja atau merombak langsung asas-asas kukuh dalam ilmu Usul Fiqh itu sendiri. Sekiranya aspek pembaharuan yang dimaksudkan ialah dalam kaedah pembelajaran ilmu Usul Fiqh sahaja maka perkara ini sebenarnya pernah juga disentuh secara tidak langsung oleh beberapa tokoh dan pemikir Islam berkenaan pembaharuan dalam kaedah pengajian dan pembelajaran ilmu-ilmu Syariah.

   Namun pada peringkat akhirnya perkara ini terjawab apabila beliau melontarkan idea supaya diperluaskan Ijtihad terhadap sumber-sumber pengeluaran hukum itu sendiri seperti Ijm‘a dan Qiyas. Dengan ini karya beliau bukan sekadar tidak lebih dari memfokuskan pembaharuan dalam ilmu Usul Fiqh malah sekana-akan meruntuhkannya pula.

   Sehingga kini saya masih tercari-cari maklmuat lanjut berkenaan pandangannya tersebut, apakah hanya sebagai cetusan idea yg. telah terkubur atau diteruskan, atau mendapat pandangan pemikir lain dari dimensi yg. berbeza

0 comments: