Thursday 21 November 2013

Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu

Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu


Assalamualaikum warahmatullah. Berikut adalah penjelasan ringkas melalui emel berhubung persoalan perkongsian bahagian akikah dalam seekor sembelihan unta/lembu.

Senario permasalahan ini ialah:

a) Apabila terdapat 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan unta atau lembu untuk tujuan aqiqah setiap seorang anak mereka masing-masing atau;

b) 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan, di mana sebahagian mereka hanya semata-mata ingin mendapatkan daging sembelihan, manakala sebahagian yang lain pula ingin menjadikan bahagian mereka tersebut sebagai aqiqah atau;

c) 7 orang individu yang ingin berkongsi seekor sembelihan, di mana sebahagian mereka ingin menjadikan bahagian mereka sebagai ibadah korban, manakala sebahagian yang lain pula ngin menjadikan bahagian mereka tersebut sebagai aqiqah.

Maka 3 senario di atas saya gambarkan dalam satu kes/permasalahan hukum iaitu: 


Hukum Perkongsian Bahagian Aqiqah Dalam Seekor Sembelihan Unta/Lembu.



Secara umumnya para ulama telah berselisih pendapat dalam permasalahan ini kepada 2 pandangan:


Pendapat Pertama: Harus. Ia merupakan pendapat al-Syafiiah. ( seperti yg telah dinukilkan oleh al-Nawawi dan al-Rafii’ berkenaan perkara ini ).

Kata al-Nawawi dalam al-Majmu’:

Jika disembelih seekor lembu atau unta untuk tujuh orang anak/bayi atau berkongsi pada lembu/unta itu sekumpulan orang, harus hukumnya sama ada semua mereka mengingini aqiqah atau sebahagian mengingini aqiqah dan sebahagian lagi inginkan dagingnya sahaja”
Hujah golongan ini adalah berdasarkan jalan Qias terhadap sembelihan korban dan permasalahan hady di mana terdapat keharusan perkongsian padanya.

Pendapat Kedua: Tidak Harus. Ini merupakan pendapat Hanabilah. Pendapat ini juga turut disandarkan kepada Malikiyyah. Ini bererti sekiranya seseorang itu ingin melakukan aqiqah dengan seekor unta atau lembu untuk anaknya, maka ia hanya boleh menanggung untuk seorang sahaja.

Hujah golongan ini ialah :

Pertama: Tidak warid nas dari sunnah tentang perkongsian dilakukan terhadap ibadah aqiqah ini. Adapun berkenaan ibadah korban ( udhiyah ), sememangnya terdapat nas yg mengharuskan perkongsian tersebut.

Kedua: Ia ( aqiqah ) merupakan fida’ ( sprt. tebusan ) terhadap satu nyawa dengan menyembelih seekor haiwan, maka satu tebusan nyawa hanya untuk satu dan tidak dibahagikan ia.

Maka dari keterangan di atas dapatlah disimpulkan bahawa:


1) Hukum perkongsian bahagian aqiqah dalam seekor sembelihan unta/lembu adalah diperselisihkan ulama tentang keharusannya kepada 2 pandangan.

2) Pandangan yang mengharuskan perkongsian bahagian aqiqah dalam seekor sembelihan unta/lembu adalah berdasarkan jalan qias.

3) Ibadah korban sememangnya terdapat nas tersendiri yg mengharuskan perkongsian seekor sembelihan unta/lembu iaitu 7 bahagian.

Oleh itu, saya secara peribadi berkecenderungan bahawa; sekiranya terdapat kemampuan untuk mengasingkan aqiqah dari bahagian korban lembu/unta, maka itu adalah lebih baik dan lebih hampir dengan apa yg pernah dipraktikkan dalam al-Sunnah. Walau bagaimanapun, pandangan al-Syafiiah berdasarkan jalan qias dalam permasahan ini turut boleh diguna pakai dengan hujahnya yg tersendiri, sepertimana yg telah diamalkan oleh sebahagian masyarakat kita.

Wallah ‘alam.

0 comments: