Salah atu ciri keunikan Islam berbanding agama lain, ia merupakan agama yang tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat. Meskipun dalam banyak perkara Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa berhati-hati dengan tipuan dunia, namun ia tetap memberikan panduan tentang bagaimana untuk mengurusnya. Oleh itu, hubungan antara dunia dan akhirat amat berkait antara satu sama lain. Dunia boleh dianggap sebagai jambatan menuju akhirat.
Maka dengan keluasan rahmat Allah sebagai tuhan yang mencipta manusia, Dia tidak meniggalkan manusia begitu saja. Dia mengetahui fitrah kejadian manusia, keperluan dan kelemahan hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian, Dia mengutuskan para Rasul alaihim solatuwassalam, dan dibekalkan bersama para Rasul kitab-kitab sebagai panduan, lalu Dia menjadikan Muhammad sebagai Rasul utusan-Nya yang terakhir, dan dijadikan al-Quran sebagai kitab yang membenarkan para Rasul yang terdahulu dan membawa syariat yang terakhir dan terkemudian.
Oleh kerana Allah amat mengetahui fitrah, keperluan dan kelemahan hamba-Nya di dunia, maka Dia tidak menjadikan urusan kehidupan dunia sebagai musuh kepada alam akhirat. Dalam banyak perkara, Islam memberi petunjuk bagaimana urusan dunia mampu diselaraskan dengan tuntutan akhirat. Di antara doa baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam:
Keperihatinan dan perhatian Islam dalam hal ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek. Dalam ibadah solat umpamanya Allah memberikan keringanan dari sudut tempoh bacaan dalam solat semasa pelaksanaanya, tanpa memberatkan serta membebankan sehingga sukar untuk dilaksanakan oleh para pesakit, pekerja dan peniaga yang mencari rezeki. Keluasan rahmat Allah s.w.t ini dapat dihayati menerusi firman-Nya:
اَللَّـهُـَّم أَصْلِحْ لِي دِينِي الّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الّتِي فِيهَا مَعَاشِي، وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الّتِي فِيهَا مَعَادِي، وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Mafhumnya: "Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku, dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku, serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan." (HR. Muslim no. 2720 (71)
عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَىٰ ۙ وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ ۚ فَضْلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ
Mafhumnya: ".......Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang kamu dapat membacanya dari Al-Quran;
( al-Muzammil : 20 )
Berhubung ayat ini, Imam al-Alusi telah memberikan komentar dalam tafsirnya bahawa; diseiringkan orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah dengan orang-orang yang berjuang pada jalan Allah menunjukkan seolah-olah mereka berdua ( 2 golongan ini ) seakan sama pada mendapat habuan pahala.
Selain itu, terdapat juga contoh lain dari hadis Nabi sallallah 'alaihi wasallam di mana Baginda Nabi melarang sebahagian Imam memanjangkan bacaannya ketika solat sekiranya dia mengethui di belakangnya terdapat makmum yang sakit, petani, peladang, penternak, pekerja yang mengerah keringatnya mencari rezeki di waktu siang di mana mereka tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka dalam tempoh yang lama.
Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a mafhumnya:
Kebiasaanya Muaz sembahyang bersama Nabi s.a.w dan kemudian beliau akan pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi s.a.w kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan mengadap Rasulullah s.a.w dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu menegurnya: Wahai Muaz! Adakah kamu menimbulkan fitnah dalam kalangan manusia terhadap agama (menjadikan gaabaran agama terpesong dan salah)
( Bukhari & Muslim )