Wednesday, 13 January 2010

Novel Oh Novel

Saya tak percaya. Dalam kekalutan harian menyempurnakan pelbagai tugasan dan tanggungjawab saya masih sempat mancapai sebuah novel dan membelinya setelah singgah sebentar di sebuah kedai buku popular minggu lalu. Saya sememangnya tidak pernah terlintas untuk membaca novel dalam tempoh kesibukan ini. Malah saya telahpun meninggalkan hobi membaca novel ini sejak meninggalkan alam remaja di bangku sekolah. Cuma sesekali menumpang baca novel-novel koleksi adik-adik saya sekiranya berkesempatan pulang bercuti. Itupun baca depan sikit, tengah sikit dan belakang sikit. Kemudiannya membuat rumusan umum cerita secara keseluruhannya.


Novel amat berpengaruh bagi jiwa remaja. Saya juga pernah berangan-angan dan mencuba untuk menulis novel suatu ketika dulu. Namun setelah beberapa kali 'folder' hasil tulisan saya hilang, saya hanya mampu menulis ulang buat kali terakhir dan menyiapkannya sekitar 70% penceritaannya. Setelah membaca sebuah novel Hamka 2 tahun yang lalu, saya terasa mendapat inspirasi dan masih berangan-angan untuk menyudahkannya suatu ketika nanti. Barangkali saya terpengaruh dengan ketokohan Hamka dan keupayaannya menghasilkan sesuatu dalam bentuk novel sastera.


Bagi mereka yang menjiwai agama, novel-novel karya Siti Hazneza Abd Hamid mungkin memberikan suatu nilai yang sedikit berbeza. Bagi para dai, mungkin mampu dilihat di sana nilai ertinya berkhidmat dan memberi. Sekiranya sewaktu usia remaja dulu keinginan saya membaca novel adalah dengan tujuan untuk mengetahui apakah kesudahan watak dan ceritanya, maka senggang-senggang yang mampu dicuri untuk membaca novel kini adalah bertujuan untuk saya mengenali watak dan latar belakang pengarangnya.


Perlu diingat! Novel bukan sumber pegangan seperti al-Quran dan al-Sunnah. Ia cuma cerita dengan seni gaya dan bahasa. Terlalu membaca novel buat remaja adakalanya akan membuatkannya berada sekali sekala terawang-awangan antara khayalan dan realiti. Cubitlah sekali-sekala untuk tersedar dari mimpi. Pilih-pilihlah novel-novel yang bermutu dan berkualiti.

Jauh sekali, dan amat-amat sekali, dan tiada bandingan untuknya, sekiranya dicuba juga untuk dibandingkan dengan al-Quran yang mampu memberi santapan rohani, ayat-ayat indah buat mereka yang dianugerahkan untuk memahami, panduan untuk kehidupan, bekalan dalam perjalanan, ubat bagi hati yang gundah gulana, penenang bagi hati yang resah dan gelisah, dan bahagialah buat mereka yang dianugerahkan untuk menikmatinya. Membacanya dengan kemahiran bersama safaratil kiramil bararah, membacanya dengan kepayahan mendapat janji dua kali pahala sebagai ganjaran.


Barangkali pembaca-pembaca novel Siti Hazneza akan tertanya-tanya setiap kali menghabiskan bacaan karya dari setiap novel-novelnya. Sampai bilakah dia akan terus menulis watak-watak di dalamnya yang sentiasa memberi dan memberi. Saya tidak menemui banyak perbezaan, melainkan dalam karya 'Angin Dingin Dari Utara' ada sedikit kelainan. Unsur set Matematik dan penaakulan Mantik itu yang cuba diketengahkan walaupun sedikit memang menarik minat saya. Ya, mungkin ramai juga yang tertanya-tanya, mengapa tidak sekali-sekala dia menulis sesuatu karya yang baru, sesekali kita memberi, dan sesekali sebagai manusia...kita perlu juga menerima..

*Quran sentiasa memujuk hati, kerana ia memahami fitrah dan naluri.


p/s: Untuk mereka yang anti novel, post ini tidak berkaitan dengan anda.

0 comments: