Tuesday 10 December 2013

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT IV


Dalam tulisan yang lalu ada saya nyatakan bahawa betapa niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla.


    Hal ini segaja disisipkan bersama sebagai nota pemikiran dan muhasabah bersama dalam memburu keredhaan Allah azza wajalla. Ini kerana kadang-kadang kita sering diberikan dengan pelbagai gambaran yang melampau tahap manusiawi untuk mencapai keikhlasan. Sedangkan keterangan-keterangan yang wujud dalam al-Quran & al-Sunnah tidaklah sedemikian. 


   Adakalanya gambaran-gambaran kesufian mungkin agak melampau dan telah mencecah batas kudrat insani. Sehingga gambaran memburu mardhatillah itu tidak mungkin tercapai melainkan semua keperluan dan hajat manusia itu perlu dibuang sepenuhnya; seolah-olah menjadi para rahib dan sami-sami; atau ingin menyamai diri mereka dengan tahap malaikat ciptaan ilahi.




  Manusia yang menganggap bahawa dia tidak memerlukan apa-apa daripada tuhannya merupakan manusia yang tertipu dan terlupa terhadap fitrah kejadian sebenarnya yang sangat dan sentiasa berhajatkan kepada tuhannya. Manusia yang menganggap bahawa dia tidak perlu meminta dan berdoa kepada tuhannya adalah manusia yang tertipu dengan kesombongannya, merasa bersih dirinya daripada memerlukan pergantungan dan pengharapan, cuba mengangkat dirinya melebihi dari insan lain untuk mengeluarkan dirinya daripada menjadi sifat hamba. Bagaimanakah manusia mampu untuk tidak mengaharapkan pahala & syurga daripada tuhan sedangkan itulah tempat harapan kembali hamba-hamba yang beriman. Atau bagaimanakah manusia mampu untuk tidak kisah dirinya dihumbankan ke dalam neraka sedangkan ia sangat berharap keselamatan darinya. 


    Sesugguhnya impian-impian dan tujuan-tujuan yang tidak tercela di sisi Allah merupakan impian yang sepatutnya mampu membawa manusia semakin hampir mencapai keredhaan Allah azza wajalla. Maka beramal dan berharaplah dengan keluasan rahmat Allah. Memintalah sebagai hamba yang sentiasa berasa dirinya miskin dan mengaharpkan kekayaan Allah azza wajalla. Percayalah, manusia meskipun mengetahui bahawa dirinya sangat hina, lemah dan berdosa namun tetap mengharapkan keampunan, rahmat dan syurga daripada Allah di akhirat. Apakah mereka yang berasa dirinya tidak mengharapkan apa-apa daripada Allah azza wajalalla merasakan diri mereka telah mulia dan tidak berdosa? Kaya dan tidak berhajat? Sempurna? Jangan berhenti berdoa, dan jangan berhenti berharap, kerana dengan berdoa dan berharap mampu mengekalkan kerendahan seseorang hamba. Sedangkan tuhan sahaja yang tidak pernah berharapkan sesuatu daripada sekalian makhluk-Nya.

(Dalam penulisan yang akan datang sekiranya diizinkan Allah, insha Allah kita akan kongsikan beberapa petunjuk al-Quran dan al-Sunnah berhubung perkara ini)

0 comments: