Wednesday, 25 September 2013

Islam & Pertanian I

    Beberapa bulan lalu terdapat pandangan yang dilontarkan kepada  Pusat Islam supaya turut sama berkongsi maklumat  atau penulisan berhubung al-Quran dan pertanian, atau Islam dan pertanian. Pandangan tersebut saya rasakan amat baik dan selaras dengan agenda semasa universiti. Namun akibat kekangan masa dan waktu, kesempatan untuk menghasilkan penulisan berhubung perkara tersebut hanya tiba beberapa bulan selepasnya. Mudah-mudahan, penulisan ringkas ini mampu menyumbang sesuatu yang bermanfaat sebagai perkongsian ilmu yang berguna berhubung perkara tersebut.


  Kesempurnaan Islam

   Secara umumnya, Islam merupakan agama yang menitik beratkan segala urusan kehidupan. Tidak ada aspek dalam kehidupan manusia ini melainkan terdapat di dalam Islam ruang perbincangan berhubung dengannya. Hal ini sama ada  disentuh secara langsung atau tidak langsung, atau setidak-tidaknya Islam meninggalkan prinsip-prinsip teras untuk  manusia supaya mampu untuk dijadikan panduan dalam kehidupan sehariannya. Antara aspek tersebut ialah pertanian, bercucuk-tanam, tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok serta perkara-perkara yang mempunyai hubungan dengannya.


  Keistemewaan Pepohon dan Tanaman
  
    Dalam  al-Quran , perkataan شجرة   (pokok) telah disebut sekitar 19 tempat, sementara perkataan زرع (tanam/tanaman) telah disebut sekitar 13 tempat. Manakala di dalam   al-Sunnah, terdapat hadis-hadis yang banyak yang  menyentuh tentang perkara-perkara yang mempunyai hubungan dengan tumbuhan dan tanaman. 

  Malah pepohon pokok mendapat perhatian yang  istemewa di dalam Islam, sehingga ia sering dijadikan gambaran perumpamaan  balasan atau ganjaran (pahala) terhadap sebahagian amalan kebaikan yang dilakukan di dunia yang akan diterima di hari akhirat. Hal ini kerana pepohon pokok mempunyai sifat atau simbol manfaat, keindahan dan kesempurnaan nikmat. 


    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda mafhumnya: Sesiapa membaca ‘Subhanallah al-’Azim wa bihamdih’ nescaya tumbah sepohon kurma (dalam riwayat yang lain sepohon pokok) baginya di Syurga. (Diriwayatkan oleh Ahmad (3/440), al-Tirmdhi (al-Da’wat 5/511, Ibn Majah (al-Adab 2/1251)) (Rujuk: Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah, Bil. 33, 1412H)





   Malah perhatian syariat Islam terhadap pepohon pokok, tumbuhan dan tanaman mencapai tahap yang terbaik sehingga tidak ditemui baginya bandingan dalam syariat yang lain. Hal ini tidak berlaku dalam syariat-syariat yang lalu begitu juga agama, anutan atau pegangan lain. Begitu juga agak sukar untuk kita temui dalam mana-mana pemerintahan yang lalu selain Islam di mana pemerintahnya sering berpesan kepada tentera-tenteranya yang turun ke medan peperangan agar menjaga hak pokok-pokok dan tanaman sepertimana mereka perlu menjaga nyawa-nyawa mereka yang tidak berdosa dan tidak terlibat dalam peperangan. 

  Contoh pesanan ini dapat dilihat antaranya sepertimana yang pernah dicatatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam Muwatta’ (al-Jihad, 2/448), ‘Abd al-Razzaq (5/199) dan al-Baihaqi (9/85) berhubung pesanan Abu Bakr al-Siddiq kepada Yazid bin Abu Sufyan, (seorang komander untuk salah satu battalion tentera Muslimin) ketika mengutuskan angkatan tentera Mulsim untuk berhadapan dengan Rom di Syiria: 

  “Kamu akan mendapati bahawa  di sana ada orang-orang yang mendakwa bahawa mereka telah benar-benar menyerahkan diri kepada Allah, maka biarkanlah mereka dengan dakwaan mereka. Dan aku berpesan kepada kamu dengan sepuluh perkara: Jangan membunuh wanita atau kanak-kanak atau orang tua. Jangan menebang pokok berbuah. Jangan memusnahkan tempat yang didiami. Jangan disembelih biri-biri  atau unta kecuali jika anda perlu untuk makanan. Jangan membakar  lebah dan jangan menenggelamkannya. Jangan mencuri dari harta rampasan, dan jangan menjadi pengecut”.

     Hal ini telah diketahui umum oleh kaum Muslimin dan dianggap sebagai perlembagaan am di mana kepatuhan terhadap peraturan-peraturan tersebut dianggap sebagai antara pra-syarat untuk mendapat bantuan kemenangan daripada Alla s.w.t. 

 Islam tidak mengizinkan menebang pokok yang berbuah melainkan ketika mencapai tahap-tahap keperluan dan darurat. Perkara ini juga sering menjadi perbahasan para ilmuwan dan Fuqaha Islam. Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadis Bukhari (Bab Memotong Pohon Pokok dan Pohon Kurma) umpamanya pernah menjelaskan pandangan-pandangan ulam berhubung perkara ini. 


 Di antara petunjuk lain yang menunjukkan Islam amat memberi perhatian kepada pepohon pokok juga adalah tegahan nabi s.a.w melakukan Qada Hajat di bawah pohon yang mampu dijadikan tempat untuk berteduh. Maka diqiaskan juga perkara-perkara yang selainnya, seperti membuang sampah dan sisa kotoran. 


  Selain itu, Islam juga amat menggalakkan meperbanyakkan pokok dan tanaman kerana besarnya faedah yang mampu diperolehi daripadanya. 


    



    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan olehn Anas bin Malik r.a, bahawa rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya: 

  “Jika berlaku hari kiamat, sedangkan di tangan seseorang kamu terdapat benih kurma, maka jika dia mampu untuk tidak bangun sehingga dia menanamnya, maka hendaklah dia menanamnya” (Ahmad 3/183, Bukhari di dalam Adab al-Mufrad)

0 comments: