Thursday, 19 May 2016

Kita pasti akan bertemu penghujung kehidupan.

Kita pasti akan bertemu penghujung kehidupan. 

Bila? Kitapun tidak pasti berapa usia yang telah Tuhan tetapkan untuk dipinjamkan.

Kita pasti berpisah dengan dunia dan orang sekeliling kita. Perpisahan pasti berlaku. Sekiranya tidak berpisah hidup, mati pasti memisahkan kita juga. 

Sekiranya kita tidak ditinggalkan, maka kita yang mungkin akan meninggalkan.
Mereka yang telah pergi, mengingatkan kita bahawa betapa dunia ini hanya sementara.


Ambillah pesanan Nabi untuk Ibn Umar sambil Baginda memegang bahunya, sebagai usapan ingatan untuk dirimu juga:

كن في الدّنيا كأنّك غريب أو عابر سبيل
"...jadikanlah hidupmu di dunia ini bagai pedagang atau pengembara jalanan.."

Thursday, 12 November 2015

Dakwah: Sungguh Tuhan Tidak Membebankanmu dengan Apa yang Bukan Kudratmu

Salah satu motivasi yang menjadikanku masih lagi belum berhenti untuk menyampaikan butir-butir bicara dari satu daerah ke satu daerah, adalah kerana mengenangkan pesan guru kami. Barangkali antara kalian ada yang masih ingat butir bicaranya ketika menyampaikan madah Manhaj Dakwah di tahun 3. Sesungguhnya dakwah itu samada kau mampu menyeru seseorang itu daripada kekufuran kepada keimanan, daripada kemungkaran kepada ketaatan, daripada yang keji kepada yang terpuji. Atau setidak-tidaknya, kau mampu meninggalkan di kolam hatinya perasaan yang bertarung antara kebenaran dan kebatilan.

Sungguh Tuhan tidak membebankanmu dengan apa yang bukan kudratmu. Kau tidak dipinta memastikan pertambahan bilangan insan untuk kembali kepada Tuhan. Seruan Nuh menjadi saksi, meskipun lebih 900 tahun dakwah dan seruan, namun tidak sampai ratuspun yang beriman. Betapa ramai para nabi yang menyampaikan seruan, setelah mereka berpindah daerah barulah generasi kemudiannya beriman.

“Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah (kemana saja) di bumi ini?  (al-Nisa 96-97).

Bisikan firman sering menguat jiwa. Mengemukakan alternatif bahawa, adakalanya bicara seruan memerlukan lembah baru yang subur untuk disemai benih-benih Iman. Moga tumbuh di sana nanti pohon-pohon yang teguh merendang. Memayungi dan melindungi penduduk serta penghuninya, menyantuni pengunjung yang bertandang ke daerahnya.

Catatan Ibn Jawzi dalam Sifat as-Sahwah juga membawaku kepada pesan riwayat Maymun bin Mahran berkenaan bicara, tentang seorang lelaki yang memohon untuk dirinya nasihat daripada sahabat baginda Salman a-Farisi.

Maka beliau berkata: 

“Janganlah kamu berbicara” Maka lelaki itu bertanya: “Bagaimanakah seseorang yang hidup dalam kalangan manusia namun ia tidak berbicara?” Beliau menjawab: “Jika perlu untuk engkau berbicara maka katakanlah yang benar ataupun engkau diam”

Seorang ilmuan boleh bergetar bicara lidahnya kerana menahan marah sehingga dianggap sebagai seorang pengecut, namun ia sama sekali tidak wajar menjebakkan dirinya menjadi seorang yang tidak waras mahupun pendusta.

Wednesday, 15 October 2014

Hari-hari dalam Kehidupan Manusia adalah Merupakan Penggiliran

Satu tindakan dan keputusan itu, adakala kesannya mengheret bersama perjalanan masa. 


Hari-hari dalam kehidupan manusia adalah merupakan peggiliran, seperti kata firman:




"Dan masa (kejayaan dan kehancuran) itu, Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)." (Ali-Imran: 140)


Bak kata pepatah Arab: "Satu hari untukmu, dan satu hari pula yang menimpamu"


Saat Iman mula bersemayam di hati, badai ujian sesekali datang menghampiri. Sungguh Iman manusia akan diuji, untuk dinilai sebuah ketelusan.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan, ‘Kami telah beriman,’ sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (al-Ankabut: 2-3)



Ujian itu penilaian tahap keimanan. Buat Mukmin yang sabar mengharapkan janji syurga dan kemenangan.

“Apakah kalian mengira bahwa kalian akan masuk surga, padahal belum datang kepada kalian cubaan sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kalian? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan macam-macam cubaan), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (al-Baqarah: 214)

Bahagialah mereka yang bahagia. Mengharapkan janji Tuhan seperti yang terkandung dalam al-Quran:

"Al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hambaNya, lagi Maha Melihat dan memerhatikan.

"Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).

"(Balasan mereka ialah) Syurga - syurga " Adn ", yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera"

"Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: "Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat)"

"Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu". ( Fatir 3-35 )

Thursday, 3 April 2014

Segalanya Bermula dengan Niat V

Salah atu ciri keunikan Islam berbanding agama lain, ia merupakan agama yang tidak memisahkan kehidupan dunia dan akhirat. Meskipun dalam banyak perkara Islam sentiasa mengingatkan umatnya supaya sentiasa berhati-hati dengan tipuan dunia, namun ia tetap memberikan panduan tentang bagaimana untuk mengurusnya. Oleh itu, hubungan antara dunia dan akhirat amat berkait antara satu sama lain. Dunia boleh dianggap sebagai jambatan menuju akhirat. 

Maka dengan keluasan rahmat Allah sebagai tuhan yang mencipta manusia, Dia tidak meniggalkan manusia begitu saja. Dia mengetahui fitrah kejadian manusia, keperluan dan kelemahan hamba-hamba-Nya. Oleh yang demikian, Dia mengutuskan para Rasul alaihim solatuwassalam, dan dibekalkan bersama para Rasul kitab-kitab sebagai panduan, lalu Dia menjadikan Muhammad sebagai Rasul utusan-Nya yang terakhir, dan dijadikan al-Quran sebagai kitab yang membenarkan para Rasul yang terdahulu dan membawa syariat yang terakhir dan terkemudian.

Oleh kerana Allah amat mengetahui fitrah, keperluan dan kelemahan hamba-Nya di dunia, maka Dia tidak menjadikan urusan kehidupan dunia sebagai musuh kepada alam akhirat. Dalam banyak perkara, Islam memberi petunjuk bagaimana urusan dunia mampu diselaraskan dengan tuntutan akhirat. Di antara doa baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam:


اَللَّـهُـَّم أَصْلِحْ لِي دِينِي الّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الّتِي فِيهَا مَعَاشِي، وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الّتِي فِيهَا مَعَادِي، وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Mafhumnya: "Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku, dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku, serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan."    (HR. Muslim no. 2720 (71)
Keperihatinan dan perhatian Islam dalam hal ini dapat dilihat dalam pelbagai aspek. Dalam ibadah solat umpamanya Allah memberikan keringanan dari sudut tempoh bacaan dalam solat semasa pelaksanaanya, tanpa memberatkan serta membebankan sehingga sukar untuk dilaksanakan oleh para pesakit, pekerja dan peniaga yang mencari rezeki. Keluasan rahmat Allah s.w.t ini dapat dihayati menerusi firman-Nya:


عَلِمَ أَنْ سَيَكُونُ مِنْكُمْ مَرْضَىٰ ۙ وَآخَرُونَ يَضْرِبُونَ فِي الْأَرْضِ يَبْتَغُونَ مِنْ ۚ فَضْلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرُونَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ 
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنْهُ



Mafhumnya: ".......Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agama-Nya). Maka bacalah mana-mana yang kamu dapat membacanya dari Al-Quran;  



( al-Muzammil : 20 )

Berhubung ayat ini, Imam al-Alusi telah memberikan komentar dalam tafsirnya bahawa; diseiringkan orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki daripada limpah kurnia Allah dengan orang-orang yang berjuang pada jalan Allah menunjukkan seolah-olah mereka berdua ( 2 golongan ini ) seakan sama pada mendapat habuan pahala.

Selain itu, terdapat juga contoh lain dari hadis Nabi sallallah 'alaihi wasallam di mana Baginda Nabi melarang sebahagian Imam memanjangkan bacaannya ketika solat sekiranya dia mengethui di belakangnya terdapat makmum yang sakit, petani, peladang, penternak, pekerja yang mengerah keringatnya mencari rezeki di waktu siang di mana mereka tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka dalam tempoh yang lama.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a mafhumnya: 

Kebiasaanya Muaz sembahyang bersama Nabi s.a.w dan kemudian beliau akan pulang mengimami kaumnya. Pada suatu malam, beliau sembahyang Isyak bersama Nabi s.a.w kemudian pulang mengimami kaumnya. Beliau mulai dengan membaca surah al-Baqarah. Maka ada seorang lelaki yang membatalkan sembahyangnya dengan memberi salam terlebih dahulu, kemudian mengerjakan sembahyang bersendirian lalu beredar. Orang ramai berkata kepadanya: Wahai Si Polan! Adakah kamu sudah menjadi munafik? Dia menjawab: Tidak! Demi Allah sesungguhnya aku akan mengadap Rasulullah s.a.w dan memberitahu akan hal ini. Orang tersebut mengadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami adalah seorang pemilik unta, penyiram tanaman dan kami berkerja pada siang hari. Sesungguhnya Muaz telah mendirikan sembahyang Isyak bersama kamu lalu pulang dan mendirikan sembahyang dimulai dengan membaca surah al-Baqarah. Rasulullah s.a.w menemui Muaz lalu menegurnya: Wahai Muaz! Adakah kamu menimbulkan fitnah dalam kalangan manusia terhadap agama (menjadikan gaabaran agama terpesong dan salah) 

  ( Bukhari & Muslim )

Tuesday, 25 March 2014

Terima Kasih buat Warga Pusat Islam UPM!





Terima Kasih diucapkan,

Atas tali Ukhuwwah yang dihulur,
Atas komitmen & sokongan,
Yang tidak mungkin mampu dibayar,










Terima kasih diucapkan,
Atas doa dan sokongan,
Moga segala kebaikan dibalasi tuhan,









Maaf juga dipohon,
Atas segala kesalahan & kesilapan,
Samada disedari atau tidak disedari,
Dilakukan atas kelemahan diri seorang insan,

Moga kita bertemu lagi insha Allah dalam Iman, di bawah lembayung rahmat serta kasih-sayang tuhan



Tuesday, 10 December 2013

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT IV


Dalam tulisan yang lalu ada saya nyatakan bahawa betapa niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla.


    Hal ini segaja disisipkan bersama sebagai nota pemikiran dan muhasabah bersama dalam memburu keredhaan Allah azza wajalla. Ini kerana kadang-kadang kita sering diberikan dengan pelbagai gambaran yang melampau tahap manusiawi untuk mencapai keikhlasan. Sedangkan keterangan-keterangan yang wujud dalam al-Quran & al-Sunnah tidaklah sedemikian. 


   Adakalanya gambaran-gambaran kesufian mungkin agak melampau dan telah mencecah batas kudrat insani. Sehingga gambaran memburu mardhatillah itu tidak mungkin tercapai melainkan semua keperluan dan hajat manusia itu perlu dibuang sepenuhnya; seolah-olah menjadi para rahib dan sami-sami; atau ingin menyamai diri mereka dengan tahap malaikat ciptaan ilahi.




  Manusia yang menganggap bahawa dia tidak memerlukan apa-apa daripada tuhannya merupakan manusia yang tertipu dan terlupa terhadap fitrah kejadian sebenarnya yang sangat dan sentiasa berhajatkan kepada tuhannya. Manusia yang menganggap bahawa dia tidak perlu meminta dan berdoa kepada tuhannya adalah manusia yang tertipu dengan kesombongannya, merasa bersih dirinya daripada memerlukan pergantungan dan pengharapan, cuba mengangkat dirinya melebihi dari insan lain untuk mengeluarkan dirinya daripada menjadi sifat hamba. Bagaimanakah manusia mampu untuk tidak mengaharapkan pahala & syurga daripada tuhan sedangkan itulah tempat harapan kembali hamba-hamba yang beriman. Atau bagaimanakah manusia mampu untuk tidak kisah dirinya dihumbankan ke dalam neraka sedangkan ia sangat berharap keselamatan darinya. 


    Sesugguhnya impian-impian dan tujuan-tujuan yang tidak tercela di sisi Allah merupakan impian yang sepatutnya mampu membawa manusia semakin hampir mencapai keredhaan Allah azza wajalla. Maka beramal dan berharaplah dengan keluasan rahmat Allah. Memintalah sebagai hamba yang sentiasa berasa dirinya miskin dan mengaharpkan kekayaan Allah azza wajalla. Percayalah, manusia meskipun mengetahui bahawa dirinya sangat hina, lemah dan berdosa namun tetap mengharapkan keampunan, rahmat dan syurga daripada Allah di akhirat. Apakah mereka yang berasa dirinya tidak mengharapkan apa-apa daripada Allah azza wajalalla merasakan diri mereka telah mulia dan tidak berdosa? Kaya dan tidak berhajat? Sempurna? Jangan berhenti berdoa, dan jangan berhenti berharap, kerana dengan berdoa dan berharap mampu mengekalkan kerendahan seseorang hamba. Sedangkan tuhan sahaja yang tidak pernah berharapkan sesuatu daripada sekalian makhluk-Nya.

(Dalam penulisan yang akan datang sekiranya diizinkan Allah, insha Allah kita akan kongsikan beberapa petunjuk al-Quran dan al-Sunnah berhubung perkara ini)

Thursday, 5 December 2013

SEGALANYA BERMULA DENGAN NIAT III



  Hadis berhubung niat ini telah mendapat nilaian yang tinggi di sisi ulama serta sentiasa menajadi perbahasan dalam kalangan ulama baik dari sudut Syariah (Fiqh) mahupun Tasawwuf. 


   Sebahagian ulama seperti al-Imam al-Bukhari rahimahullah telah memulakan karya Sahihnya dengan hadis ini. Hal yang sama telah dilakukan oleh al-Nawawi dalam "Arbain". 

    Menurut sebahagian ulama, hal ini sengaja dilakukan oleh mereka, untuk memperingatkan diri mereka sendiri dan mereka yang sesudahnya, supaya membetulkan niat dalam setiap perkara, termasuklah dalam menuntut ilmu. Berhubung hadis ini 'Abd Rahman Mahdi pernah menyatakan:



"Adalah patut untuk dijadikan hadis ini sebagai permulaan bagi setiap bab"


    Hal ini mungkin boleh membantu setiap penuntut ilmu untuk membersihkan niat di hatinya, dan peringatan ini akan datang setiap kali mereka bertemu  permulaan bab yang baru. Perbahasan-perbahasan berhubung hadis ini boleh ditemui dalam pelbagai karya para ulama dengan huraiaan yang panjang.



Pelbagai Niat dan Tujuan yang Baik 



    Niat sering dikaitkan dengan persoalan keikhlasan, kemurnian, kesucian dan ketulusan hati. Tujuan tertinggi atau terakhir yang ingin dicapai oleh seorang Mukmin tidak lain dan tidak bukan, melainkan untuk menggapai keredhaan daripada Allah azza wajalla. 



    Namun dalam sesetengah usaha yang kita lakukan, kita mungkin mempunyai lebih dari satu niat dan tujuan. Sesugguhnya niat-niat dan tujuan-tujuan yang baik yang diredhai oleh Allah s.w.t, sudah tentu tidak mencemari kemurnian dan keikhlasan hati, di mana tujuan akhirnya adalah untuk mencapai redha Allah azza wajalla. 



  Seorang doktor yang merawat pesakit umpamanya, mempunyai niat untuk membantu masyarakatnya, membangunkan umat dan negaranya, memberikan perkhidmatan terbaik kerana amanah terhadap majikannya, melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakatnya, mencari nafkah untuk menyara kehidupan keluarganya di mana kesemua itu merupakan tujuan yang baik yang sewajarnya akan membawanya mencapai tujuan tertinggi, iaitu mendapat keredhaan Allah s.w.t.


   Hal ini tidak sewajarnya menjadi kontradiks sepertimana yang difahami oleh sesetengah pihak. Insan yang bergelar hamba sememangnya sentiasa berhajat untuk bernaung di bawah kebesaran, kekayaan dan keluasan rahmat Allah s.w.t. Sifat lemah, hina, memerlukan pergantungan, miskin, berharap merupakan sifat-sifat seorang hamba yang diperlukan apabila berhadapan dengan tuhan-Nya. 


  Adalah agak pelik, seorang hamba yang sememangnya berhajatkan segala-galanya daripada tuhan-Nya, namun secara tidak sedar bersifat sombong dan angkuh; atau juga ada yang menyatakan bahawa dia tidak memerlukan semua itu kecuali keredhaan tuhan-Nya semata-mata; atau beramal namun dia tidak berhajatkan syurga kecuali redha tuhan-Nya semata-mata; atau tidak kisah walaupuun berada di neraka sekiranya tuhan redha untuk dirinya berada di sana. Ia adalah sifat yang bersalahan dengan fitrah nurani seorang hamba itu sendiri yang bersifat lemah dan sangat mendambakan segala limpahan rahmat dan kebaikan daripada tuhan-Nya. 


   Sudah tentu, kita sebagai seorang hamba; amat-amat mengharapkan redha Allah s.w.t begitu juga syurga-Nya, sepertimana kita memohon juga perlindungan daripada kemurkaan Allah s.w.t dan neraka-Nya. Hal ini seperti doa yang sering kita panjatkan sebagaimana yang diajar oleh baginda Nabi sallallah 'alaihi wasallam: 

  اللهم إني أسألك رضاك والجنة وأعوذ بك من سخطك والنار
Mafhumnya: " Ya Allah, aku memohon kepada-Mu keREDHAan-Mu dan SYURGA, dan aku memohon perlindungan-Mu daripada keMURKAan-Mu dan NERAKA"



    Maka apakah berdoa mengrapkan syurga tuhan itu mencacatkan keikhlasan? Dan siapakah pula kita yang miskin dan lemah ini untuk berlagak kaya daripada meminta dan mengharapakan segala-galanya daripada Yang Maha Kaya itu? 

Lihat: 


Segalanya Bermula dengan Niat I:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-i.html

Segalanya Bermula dengan Niat II:http://notefrommydesk.blogspot.com/2012/10/segalanya-bermula-dengan-niat-ii.html
Segalanya Bermula dengan Niat III:http://notefrommydesk.blogspot.com/2013/12/segalanya-bermula-dengan-niat-3.html